Seorang maut, tiga lari selepas kereta bawa warga asing terbabas

Seorang wanita warga asing maut selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelah kiri di Kilometer 48.5 Lebuhraya Utara Selatan, Simpang Renggam, Kluang, pada Isnin
Seorang wanita warga asing maut selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelah kiri di Kilometer 48.5 Lebuhraya Utara Selatan, Simpang Renggam, Kluang, pada Isnin
A
A
A

KLUANG - Seorang wanita warga asing maut manakala tiga lagi penumpang melarikan diri selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelah kiri dalam kejadian di Kilometer 48.5 Lebuhraya Utara Selatan, Simpang Renggam, pada Isnin.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Abdul Rahim Razali berkata, pemandu kereta yang merupakan seorang lelaki pula cedera.

"Kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta Proton Wira dinaiki semua warga asing. Seorang wanita dewasa berusia 20-an yang duduk di hadapan sebelah pemandu maut manakala pemandunya yang merupakan seorang lelaki dewasa cedera.

"Sementara tiga lagi penumpang warga asing melarikan diri sebelum pihak bomba tiba. Bomba mengeluarkan mangsa yang meninggal dunia sebelum menyerahkannya kepada pihak polis," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Menurut Abdul Rahim, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada jam 4.43 pagi dan seramai enam anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) ke tempat kejadian.

Katanya, semua identiti termasuk umur mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut tidak diketahui.