Rumah rosak, bumbung diterbangkan angin kencang di Labuan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

LABUAN - Beberapa rumah di sini rosak teruk selepas bumbungnya diterbangkan angin kencang dalam kejadian kira-kira jam 3 petang Ahad.

Rumah yang terjejas adalah di Kampung Layang-Layangan, Kampung Tanjung Aru, Kampung Kilan, Kampung Lubok Temiang dan Kampung Sungai Bedaun.

Turut terjejas teruk, Dewan Serbaguna Masjid Sungai Labu dengan silingnya runtuh namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Angin kencang disertai ribut petir sejak malam tadi menyebabkan sejumlah pokok besar tumbang di jalan utama menghala ke beberapa kampung manakala beberapa rumah di Kampung Lubok Temiang dan Kampung Sungai Labu turut mengalami kerosakan akibat dihempap pokok.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Labuan, Ismaidi Ismail berkata, bilik gerakan jabatan itu menerima panggilan kecemasan tanpa henti sejak malam tadi.

"Kami telah menggerakkan pasukan untuk memotong dan mengalihkan pokok yang menghempap rumah dan melakukan pembersihan terhadap pokok tumbang di jalan utama," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan sistem cuaca tekanan rendah di barat Filipina dijangka bergerak menuju ke timur Vietnam dalam tempoh 9 hingga 13 Julai.

Situasi berkenaan berpotensi membawa angin baratan yang kuat dan boleh menyebabkan kejadian garis badai.

Ini seterusnya mengakibatkan hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang di utara Sarawak (Bintulu, Miri dan Limbang), barat Sabah dan Labuan dalam tempoh 9 hingga 10 Julai dan negeri-negeri utara Semenanjung dalam tempoh 11 hingga 13 Julai.

Amaran angin kencang dan laut bergelora (Kategori Pertama dan Kedua) juga telah dikeluarkan di Laut China Selatan berkuat kuasa dari 9 Julai hingga akhir tempoh ramalan.

METMalaysia turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk laman web jabatan itu dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. - Bernama