Sah, keputusan akhir Altimet Ketua Cabang Ampang baharu

Altimet
Altimet
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Zaliha Mustafa mengesahkan penyanyi rap, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali Altimet sebagai Ketua Cabang PKR Ampang yang baharu.

Menurutnya, keputusan terkini yang dipaparkan di laman web keputusan pemilihan adalah keputusan akhir bagi Cabang Ampang.

Justeru, beliau memohon kepada semua pihak untuk berlapang dada menerima keputusan ini.

"Keputusan pada 29 Jun adalah keputusan pengundian awal setelah pengundian semula diadakan.

"Keputusan ini kemudiannya diserahkan kepada pakar digital supaya ada keseragaman diambil dengan parameter-parameter yang mereka gunakan ke atas seluruh keputusan Pemilihan PKR 2022.

"Dengan ini, keputusan terkini yang dipaparkan adalah keputusan akhir bagi Cabang Ampang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Zaliha turut menegaskan bahawa JPP telah menjalankan tanggungjawab terhadap Pemilihan 2022 dengan sebaik mungkin.

Jelasnya, keputusan yang berubah adalah hasil daripada pengauditan yang juga telah dibentangkan dalam Majlis Pimpinan Pusat.

Dr Zaliha Mustafa
Dr Zaliha Mustafa

"Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, JPP menerima analisis dan saranan tindakan daripada pakar digital yang merupakan entiti luar daripada parti, bertindak bebas dan tiada berkepentingan.

"Mereka yang menang ada tanggungjawab yang besar selepas ini.

"Saya memohon kepada semua pihak untuk berlapang dada menerima keputusan ini dan menerima keputusan yg telah dibuat dalam Majlis Pimpinan Pusat untuk pimpinan dan anggota parti terus bergerak ke hadapan," jelasnya.

Paparan dalam laman web keputusan pemilihan PKR mendapati Altimet mendapat 743 undi mengatasi Hans Isaac, 734 undi.

Keputusan bagi jawatan itu berubah sebanyak tiga kali sejak Pemilihan PKR bulan lepas.

Keputusan pemilihan asal berpihak kepada Daing Muhammad Reduan Bachok yang mendapat 942 undian menewaskan pelakon, Datuk Hans Isaac yang mendapat 609 undi dan Altimet mendapat 589 undi.

Bagaimanapun, susulan aduan salah laku salah seorang calon, pemilihan diadakan semula pada 29 Jun dan berdasarkan kiraan tidak rasmi, Hans Isaac mendahului dengan 748 undi manakala Altimet mendapat 746 undi.

Altimet kemudiannya dilaporkan menjadi Ketua Cabang PKR Ampang baharu apabila berjaya memperoleh 743 undi manakala Hans Isaac 734.