UMKVengers gerak misi bantuan pasca banjir di Kedah

UMK menghantar pasukan sukarelawan yang dikenali sebagai UMKVengers bagi membantu mangsa banjir di Kampung Kupang Baling, Kedah pada Jumaat.
UMK menghantar pasukan sukarelawan yang dikenali sebagai UMKVengers bagi membantu mangsa banjir di Kampung Kupang Baling, Kedah pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menghantar pasukan sukarelawan yang dikenali sebagai UMKVengers bagi membantu mangsa banjir di Kampung Kupang Baling, Kedah pada Jumaat.

Pengarah Pusat Kokurikulum UMK, Prof Madya Dr Muhamad Saufi Che Rusuli berkata, skuad UMKVengers itu terdiri daripada 10 kakitangan dan 25 orang pelajar.

"Misi banjir kali ini memberi tumpuan di sekitar Baling termasuk dua buah rumah pelajar UMK yang turut terkesan.

"Pelajar UMK yang terkesan adalah Muhammad Aiman Mohamad Kamil dan Maizatul Nayli Mior Murtazian yang berada di kawasan Kupang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, UMKVengers juga telah berganding dengan sukarelawan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk membersihkan kediaman mangsa.

Beliau berkata, misi tersebut diharap dapat membantu memulihkan kembali kediaman mangsa yang terkesan akibat banjir.

Katanya, turut disampaikan ialah bantuan makanan khususnya kepada mangsa banjir dalam kalangan pelajar UMK.

"Alhamdulillah para sukarelawan menunjukkan semangat kebersamaan yang tinggi dan bersedia untuk membantu penduduk yang terjejas walaupun mereka akan menghadapi peperiksaan semester tidak lama lagi.

"Misi bantuan bencana ini adalah sebagai tanda keprihatinan UMK dan Kementerian Pengajian Tinggi kepada seluruh penduduk yang telah menghadapi musibah ini," katanya.