Tuan rumah Piala Asia 2023 diketahui 17 Oktober

Skuad Harimau Malaya layak secara merit pada Piala Asia 2023. (Gambar kecil: Windsor)
Skuad Harimau Malaya layak secara merit pada Piala Asia 2023. (Gambar kecil: Windsor)
A
A
A

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) dijangka mengumumkan negara yang dipilih selaku tuan rumah Piala Asia 2023 pada 17 Oktober depan.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata, perkara itu akan diumumkan setelah pihak Jawatankuasa Eksekutif AFC selesai membuat pemilihan pada tarikh berkenaan.

“Setakat ini, kami sudah pun menerima beberapa permohonan daripada beberapa buah negara Asia yang berminat untuk menjadi tuan rumah Piala Asia 2023.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh mengumumkan negara mana yang telah menghantar permohonan berkenaan sehinggalah tarikh tutup permohonan pada 15 Julai ini.

“Setelah tarikh tutup, kami akan umumkan negara berkenaan dan urusan pemilihan kemudiannya akan dibawa ke Jawatankuasa Eksekutif AFC pada 17 Oktober nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

AFC kembali membuka bidaan tuan rumah Piala Asia 2023 setelah China mengumumkan menarik diri susulan situasi semasa penularan Covid-19 di negara berkenaan pada Mei lalu.

Keputusan berkenaan nyata mengejutkan ramai pihak kerana kejohanan terulung di rantau Asia itu dijadualkan berlangsung dari 16 Jun hingga 16 Julai tahun depan.

Dalam pada itu, Windsor memberitahu, AFC tidak mempunyai kuasa sekiranya Stadium Nasional, Bukit Jalil dipilih menjadi tuan rumah dua aksi peringkat kumpulan Piala AFF 2022 pada hujung tahun ini.

“Kami tidak boleh campur tangan berkaitan pemilihan venue kerana ia bukan pertandingan di bawah anjuran AFC, tetapi ia adalah tanggungjawab Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

“Jika AFF beri kelulusan, bolehlah guna (Stadium Nasional, Bukit Jalil). AFC tidak akan masuk campur stadium yang mahu digunakan pada perlawanan di bawah kelolaan AFF,” jelasnya.