Najib akan 'selamat' jika UMNO menang besar PRU15: Rafizi

Foto (kiri) Najib, Rafizi (kanan)
Foto (kiri) Najib, Rafizi (kanan)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak hanya akan 'selamat' daripada hukuman penjara sekiranya UMNO menang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau mendakwa, ramai dalam kalangan orang UMNO tahu mengenai situasi tersebut dan bekas Perdana Menteri itu kini hanya bergantung kepada populariti UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menyelamatkan dirinya.

"Sebilangan besar ahli UMNO termasuk kepimpinan tertinggi parti berkenaan juga tahu Ahli Parlimen Pekan itu bersalah khususnya melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan lain-lain.

"Najib juga sebenarnya tidaklah sepopular yang dirasakan dalam kalangan parti UMNO sendiri. Cuma dia rasa dia popular. Najib hanya akan mendapat sokongan kalau UMNO menang besar, kalau UMNO menang tipis dia dah susah, kalau UMNO kalah dia akan jadi 'ketua bilik darjah' di Sungai Buloh (Penjara Sungai Buloh)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis 'Fundraising Dinner' yang dihadiri lebih 800 ahli dan penyokong parti tersebut di Taman Johor Jaya di sini pada malam Khamis.

Turut hadir, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh yang juga Pengerusi PKR Johor; Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Rafizi berkata, pembangkang khususnya PKR akan terus menggunakan skandal 1MDB melibatkan Najib sampai bila-bila walaupun beliau bukan lagi pemimpin nombor satu negara.

"Ada orang UMNO, MIC dan MCA kata mengapa masih 'sentuh' isu Najib sedangkan dia bukan lagi Perdana Menteri, saya jawab sampai mati kita akan 'sentuh' dia kerana dia telah meninggalkan hutang sampai tiga, empat generasi belum tentu habis dibayar," katanya.

Menurutnya, hutang 1MDB sebanyak RM53 bilion dan kerajaan baharu selesai membayar sebanyak RM13 bilion, sementara wang yang sudah dikutip daripada kes skandal itu pula hanya sebanyak RM20 bilion.

"Ini bermakna rakyat Malaysia masih perlu menanggung hutang 1MDB sebanyak RM20 bilion," katanya.