'Najib lambat, saya dah turunkan papan iklan'

Amirudin. Tangkap layar hantaran Najib di Facebook pada Khamis. (Gambar dalam)
Amirudin. Tangkap layar hantaran Najib di Facebook pada Khamis. (Gambar dalam)
A
A
A

KLANG - "Najib lewat sebab saya dah turunkan papan iklan itu dua hari lepas. Maaf lambat beritahu."

Demikian respon Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengenai hantaran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Facebooknya pada Khamis berhubung kesilapan kiraan jumlah peruntukan Program Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

Menurutnya, kesilapan tersebut telah ditegur sebelum ini dan disebabkan itu, papan iklan tersebut diturunkan lebih awal sebelum Najib memuatnaik hantaran berkenaan.

"(Kesilapan) kiraan, dah ada orang tegur dan kita dah keluarkan dua hari lepas sebelum beliau memuatnaik hantaran tersebut.

"Mungkin 'cybertrooper' lambat dibayar gaji, sebab itulah," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan ‘E-Metro Logistics Park’ Sime Darby Property di Bandar Bukit Raja pada Jumaat.

Pada Khamis, Najib memuat naik gambar papan iklan Program ISP di Facebook yang memaparkan jumlah peruntukan inisiatif berkenaan berjumlah RM1.3 bilion.

Namun beliau mempersoalkan baki peruntukan sebanyak RM258 juta didakwa hilang kerana jumlah bajet program berkenaan hanya bernilai RM1.042 bilion sahaja.

"RM415 juta + RM627 juta = RM1.3 bilion? Baki RM258 juta sudah pergi ke mana," katanya.