Majikan disaran beri cuti kepada pekerja terjejas banjir

Awang (tengah) menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir pada Program Penyerahan Sumbangan CSR kepada mangsa banjir di PPS Surau An-Nur pada Jumaat.
Awang (tengah) menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir pada Program Penyerahan Sumbangan CSR kepada mangsa banjir di PPS Surau An-Nur pada Jumaat.
A
A
A

BALING – Kementerian Sumber Manusia menggalakkan majikan memberi cuti kepada pekerja mereka yang terkesan akibat banjir dan kepala air di Baling.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, ketua-ketua jabatan diharap mempertimbangkan pemberian cuti kepada mangsa banjir bagi membolehkan mereka membuat pengurusan pascabanjir.

“Mereka (pekerja) hendak kerja, hendak makan, hendak cari tempat berlindung pun tidak boleh disebabkan tidak ada rumah dengan timbunan-timbunan selut yang tinggi.

“Jadi, kita hendak mereka tumpu kepada kerja pembersihan supaya mereka datang ke tempat kerja dengan tiada masalah, semangat tinggi dan peningkatan produktiviti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Penyerahan Sumbangan CSR kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Surau An-Nur di sini, pada Jumaat.

Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang juga memohon majikan swasta memberikan pelepasan cuti bergaji kepada mangsa banjir di daerah itu.

Katanya, pihak majikan perlu berbincang dengan pekerja dan memberikan mereka masa untuk kembali bekerja.

“Jikalau dia (pekerja) datang kerja pun, dia tidak ada hati langsung untuk bekerja kerana memikirkan keadaan di rumah, anak isteri, makan minum dan rumah berselerak.

“Jadi saya harap pihak majikan beri cuti bergaji. Jangan potong gaji mereka dan sekiranya ada masalah apa-apa diminta membuat aduan melalui aplikasi ‘Working For Workers’ (WFW).

“Insya-ALLAH, kami akan ambil tindakan segera untuk kita menyiasat dan memberi satu pandangan dan nasihat supaya ia tidak menjejaskan majikan dan pekerja,” katanya.

Ketika diminta mengulas sama ada majikan boleh dikenakan tindakan sekiranya tidak memberikan kerjasama, Awang berkata, pihaknya meminta pekerja membuat aduan melalui aplikasi berkenaan sebelum sebarang tindakan diambil.

Beliau berkata, nama-nama pekerja membuat aduan melalui aplikasi tersebut juga akan dirahsiakan.