Malaysia, Turkiye setuju pastikan rantaian makanan cukup

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersalaman dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden. Foto: Bernama
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersalaman dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden. Foto: Bernama
A
A
A

ANKARA - Malaysia dan Turkiye hari ini bersetuju untuk bekerjasama bagi memastikan rantaian bekalan makanan sentiasa mencukupi serta stabil.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau dan Presiden Recep Tayyip Erdogan sependapat bahawa isu keselamatan makanan kian meruncing akibat pandemik Covid-19.

"Malah kini menjadi semakin kritikal ekoran konflik Rusia-Ukraine," katanya pada sidang media bersama Presiden Turkiye itu di Kompleks Presiden di sini pada Khamis yang turut disiarkan secara langsung oleh beberapa stesen televisyen Turkiye dan Malaysia termasuk Bernama TV.

Menurut Ismail Sabri, yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke republik itu atas jemputan Erdogan, antara langkah segera bagi mendepani isu ini yang diambil Malaysia dan Turkiye ialah untuk meningkatkan perdagangan produk makanan, dan akan terus menjalinkan kerjasama yang meliputi perkongsian maklumat serta pengalaman.

Pada masa sama, kedua-dua negara akan memperkasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor makanan bagi meningkatkan keupayaan menghasilkan sumber makanan serta kelangsungan sekuriti makanan untuk berada pada tahap yang stabil.

Perdana Menteri juga berkata, beliau telah menyampaikan berita baik kepada Erdogan bahawa Kerajaan Malaysia telah mengiktiraf ijazah dari 208 universiti di Turkiye.

"Saya yakin ini akan meningkatkan produk-produk penyelidikan bertaraf antarabangsa dari universiti kedua-dua negara. Tambahan lagi, ia adalah khabar yang dinanti-nantikan oleh anak-anak Keluarga Malaysia yang telah dan sedang menimba ilmu di negara ini," katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau dan Erdogan mengakui kerjasama industri pertahanan antara kedua-dua negara perlu dipertingkat.

"Saya telah memaklumkan kepada Presiden bahawa dalam rangka lawatan ini, saya turut berpeluang mengadakan pertemuan dan lawatan dengan beberapa pemain industri pertahanan di Turkiye," katanya yang telah melawat dua syarikat pemain utama industri pertahanan dan aeroangkasa Turkiye iaitu MKE Corporation dan Turkish Aerospace Industries (TAI) pada Rabu.

Kedua-dua negara Islam itu juga sependapat berhubung sokongan berterusan kepada perjuangan Palestin, kata Ismail Sabri sambil menambah Malaysia menghargai pendirian dan usaha Turkiye dalam membela rakyat Palestin.

"Kedua-dua negara bersama negara yang berfikiiran serupa akan terus menyelaras usaha ke arah menamatkan pendudukan rejim Zionis dan merealisasikan Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat," katanya.

Mengenai konflik berpanjangan Rusia-Ukraine, Perdana Menteri berkata, beliau memuji usaha Erdogan untuk mencari jalan perdamaian bagi mengakhiri konflik ini dan mereka bersetuju agar semua pihak yang terlibat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan konflik yang menggugat keamanan sejagat itu.

Pada pertemuan dengan Erdogan itu juga, Perdana Menteri berkata, beliau telah mengucapkan tahniah kepada Presiden atas penerimaan permohonan pertukaran nama Turki kepada Turkiye yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.

Pada lawatan itu, Ismail Sabri diiringi Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Turkiye adalah rakan kongsi perdagangan ketiga terbesar Malaysia di Timur Tengah selepas Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara merekodkan RM16.97 bilion (US$4.09 bilion) pada 2021 dan projek dilaksanakan bernilai RM444.59 juta (US$130.91 juta). - Bernama