Sila log masuk terlebih dahulu.

Agensi diarah kaji kaedah turunkan harga minyak masak

Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa pada Sidang Media berkaitan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Bangunan Perdana Putra.- Foto Bernama.
Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa pada Sidang Media berkaitan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Bangunan Perdana Putra.- Foto Bernama.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi telah mengarahkan agensi-agensi yang berkaitan untuk mengkaji mekanisme bagi menurunkan harga runcit minyak masak di pasaran, susulan penurunan harga minyak sawit di dunia.

Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa berkata, agensi terbabit, yang termasuk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), diarah untuk mengadakan sesi libat urus dengan 22 pengeluar minyak yang sedang beroperasi untuk meninjau mekanisme bagi tujuan itu.

"Kita dapati ada trend turun (harga) minyak sawit pada kadar RM3,800 setong. Sekiranya (harga) minyak sawit turun RM3,750, kita mohon kerjasama dan minta turunkan harga runcitnya.

"Adalah tidak adil harga minyak dinaikkan atas alasan harga minyak yang naik tinggi baru-baru ini, tetapi apabila harga minyak turun, harga runcit minyak tidak diturunkan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di sini pada Khamis.

Beliau berkata, pasukan khas itu akan memantau harga sebenar minyak sawit dalam masa terdekat dan apabila kadar itu turun lebih rendah daripada nilai ambang berkenaan, pengilang dan peruncit harus memberi komitmen menurunkan harga minyak yang dijual.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia turut memohon kerjasama pengilang dan peruncit untuk membuat persiapaan menurunkan harga minyak yang dijual secara runcit.

Beliau juga meminta pengilang minyak masak agar memastikan kepatuhan 100 peratus terhadap semua syarat-syarat yang dikenakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mengelak berlakunya ketirisan bekalan minyak masak.

Beliau berkata, pasukan khas itu akan memastikan tindakan tegas dan berterusan diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam ketirisan bekalan minyak masak yang berlaku secara berleluasa sejak dulu.

"Kita mempunyai bukti berlaku ketirisan yang berleluasa sebelum ini lagi, termasuk menggunakan minyak subsidi untuk dieksport dan dijual ke luar negara, minyak kegunaan domestik diguna sektor bukan domestik, serta bentuk ketirisan lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru Annuar berkata, kerajaan akan memperhebatkan Ops Bersepadu bagi membanteras ketirisan minyak masak, dan mengelak ia daripada diseludup ke negara asing, termasuk pemantauan sempadan negara oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Katanya, pihak berkuasa telah membuat rampasan minyak masak bernilai RM1.5 juta melibatkan 61 kes dalam tempoh enam bulan ini.

Beliau seterusnya berjanji Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan terus mendapatkan maklumat secara mendalam sekiranya masih terdapat pengilang yang turut terlibat dalam kegiatan penyeludupan dan penjualan minyak masak bersubsidi secara pukal bagi tujuan lain. - Bernama