Pertengkaran didakwa punca suami, isteri dibunuh

Lokasi kejadian pasangan suami isteri ditemui mati dipercayai dibunuh adik kandungnya di Taman Bercham Aman dekat Ipoh pada Khamis.
Lokasi kejadian pasangan suami isteri ditemui mati dipercayai dibunuh adik kandungnya di Taman Bercham Aman dekat Ipoh pada Khamis.
A
A
A

IPOH - "Selalu juga dengar mereka gaduh-gaduh, malam tadi pun ada gaduh juga," Demikian cerita ibu kepada pasangan suami isteri yang ditemui mati dipercayai dibunuh adik kandung mereka dalam kejadian di Taman Bercham Aman dekat Ipoh pada Khamis.

Warga emas berusia lingkungan 90-an itu berada dalam rumah berkenaan ketika pertengkaran berlaku, namun tidak mengetahui insiden terbabit meragut nyawa anak lelaki dan menantunya.

Dia yang uzur dan berkerusi roda bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dalam kejadian itu, Ng Chuan Hon, 64, dan isteri, Ooi Tin Lu, 59, meninggal dunia di tempat kejadian dalam keadaan berlumuran darah kesan kecederaan di kepala yang disebabkan senjata tajam dan objek tumpul.

Sebelum kejadian, berlaku pertengkaran antara pasangan suami isteri itu dengan adik lelaki mangsa berusia 61 tahun yang tinggal bersama di rumah berkenaan.

Adik lelaki mangsa yang kini menjadi suspek utama kes itu gagal dikesan dan dilaporkan telah melarikan diri.

Jiran mangsa yang enggan dikenali terkejut dengan kejadian itu kerana selama ini beranggapan keluarga berkenaan tidak mempunyai sebarang masalah.

Katanya, kali terakhir dia melihat mangsa pada petang Rabu ketika mereka pulang dari tempat kerja.

"Malam tadi saya kerja, jadi tak tahu apa yang berlaku, pagi ini bila balik rumah tengok sudah banyak kereta polis.

"Tambah terkejut bila tahu pasangan suami isteri ini sudah meninggal dunia," katanya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, maklumat mengatakan pada sekitar jam 8.30 malam pada Rabu, saksi ada terdengar bunyi pergaduhan tetapi tidak dapat dipastikan berkaitan apa.

"Motif kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.