Penganggur culik budak sekolah dipenjara dua tahun

Muhammad Rahim dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak berusia 7 tahun berhampiran Sekolah Agama Taman Scientex, Pasir Gudang pada 11 Mei lalu.
Muhammad Rahim dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak berusia 7 tahun berhampiran Sekolah Agama Taman Scientex, Pasir Gudang pada 11 Mei lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mahkamah Majistret di sini pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap seorang lelaki selepas mengaku salah menculik seorang budak lelaki di Taman Scientex, Pasir Gudang, dua bulan lalu.

Muhammad Rahim Ahmad, 26, yang tidak mempunyai pekerjaan dijatuhkan hukuman itu selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah di hadapan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim.

Pada 17 Mei lalu, Muhammad Rahim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Mohd Zulhilmi.

Prosiding hari ini sepatutnya ditetapkan untuk sebutan semula kes itu namun tertuduh yang tidak diwakili peguam menukar pengakuannya sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 11 Mei lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun berhampiran Sekolah Agama Taman Scientex, Pasir Gudang pada jam 11.30 pagi, 11 Mei lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Arif Marzuki dan Danial Munir.

Pada 11 Mei, beberapa video tular memaparkan tertuduh menculik seorang kanak-kanak lelaki yang memakai pakaian sekolah agama namun berjaya ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis.