Dua lelaki ditahan buat laporan palsu disamun

No Image Caption
A
A
A
JOHOR BAHRU - Gara-gara tidak mahu membayar denda bagi membuat kad pengenalan baharu, dua lelaki sanggup membuat laporan palsu kononnya menjadi mangsa ragut dan samun dalam kejadian berasingan pada Ahad dan Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, tindakan tersebut mengundang padah apabila hasil siasatan mendapati kejadian berkenaan tidak pernah berlaku dan kedua-dua lelaki berusia 30 dan 43 tahun itu ditahan pihaknya

"Pada Ahad lepas, lelaki berusia 43 tahun itu membuat laporan polis dan mendakwa telah diragut dua lelaki bermotosikal yang tidak diketahui bangsanya ketika sedang berjalan kaki serta mengalami kerugian kira-kira RM500 termasuk dokumen pengenalan diri.

"Bagaimanapun, hasil soal siasat yang dijalankan mendapati pengadu membuat laporan palsu dan mengakui kejadian ragut itu tidak berlaku, sebaliknya laporan itu dibuat bagi mengelakkan didenda oleh Jabatan Pendaftaran Negara," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Rupiah berkata, pada Isnin lepas pula, seorang lelaki berusia 30 tahun membuat laporan dan mendakwa menjadi mangsa samun oleh seorang lelaki yang tidak diketahui bangsanya ketika berada di depan sebuah kedai serbaneka di Taman Ungku Tun Aminah di sini.
Artikel Berkaitan:


"Hasil soal siasat mendapati pengadu berkenaan juga telah membuat laporan polis palsu," katanya sambil menambah kedua-dua lelaki berkenaan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok untuk didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan. - Bernama