Penyedut asap makmal SMK Taman Selayang terbakar

Rakaman video tular membabitkan kebakaran di SMK Taman Selayang pada Rabu.
Rakaman video tular membabitkan kebakaran di SMK Taman Selayang pada Rabu.
A
A
A

SELAYANG - Tular di media sosial insiden kebakaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Selayang di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada orang awam pada jam 2.45 petang.

Menurutnya, siasatan mendapati kebakaran berlaku di luar kelas di tingkat dua, melibatkan bahagian motor penyedut asap dari sebuah makmal.

"Kejadian berlaku apabila motor penyedut asap terbakar dan api menyambar paip PVC laluan udara kotor," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang ke lokasi dan tiada kecederaan serta kemalangan jiwa dilaporkan.

"Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan dan kes disiasat oleh pihak BBP Selayang," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, kebakaran telah dipadamkan oleh kakitangan sekolah sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

"Pemeriksaan lanjut dilakukan bagi memastikan kesan kebakaran dipadamkan sepenuhnya sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.55 petang.

"Bangunan selamat digunakan memandangkan kebakaran hanya melibatkan penyedut asap dan tidak melibatkan struktur bangunan," katanya.

Tambahnya, kejadian tidak melibatkan mangsa dan makmal ketika kejadian kosong serta tidak gunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran.