Empat projek segera cegah banjir di Baling: Tuan Ibrahim

Keadaan rumah di Kampung Iboi yang rosak teruk selepas dilanda banjir petang kelmarin. - Foto Bernama
Keadaan rumah di Kampung Iboi yang rosak teruk selepas dilanda banjir petang kelmarin. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang dalam proses melaksanakan empat projek segera bernilai RM203 juta di Baling, Kedah bagi mengelak kejadian banjir di kawasan itu berulang, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pelaksanaan projek berkenaan adalah berdasarkan penilaian Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Pengairan dan Saliran, Datuk Dr Md Nasir Md Noh ke Baling yang melawat lokasi banjir di Baling semalam untuk menilai kesan banjir serta merangka pelan mitigasi, katanya.

Empat projek itu ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Baling Fasa 1 dengan kos RM15 juta, RTB Baling Fasa 2 melibatkan kos RM160 juta, pembinaan struktur sabo (penahan puing) untuk mengurangkan risiko aliran puing (RM22 juta) dan beberapa projek kecil yang perlu disegerakan seperti mendalamkan sungai, membina benteng sungai, pembaikan jambatan serta denai sungai (RM6 juta).

Insiden banjir dan fenomena kepala air yang berlaku pada Isnin di Baling telah mengakibatkan tiga nyawa terkorban, manakala beratus-ratus penduduk ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara dan lebih 80 rumah terjejas.

Beliau berkata, banjir yang berlaku di kawasan terbabit adalah susulan hujan berterusan selama tiga jam bermula 3 petang Isnin, dengan bacaan aras hujan direkodkan di stesen Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Felda Teloi Kanan sebanyak 64 milimeter (mm) manakala stesen Kampung Sedim dan Kampung Iboi masing-masing pula merekodkan bacaan melebihi 40mm.

Data satelit Jabatan Meteorologi Malaysia pula menunjukkan taburan hujan lebih sekali ganda di Gunung Inas iaitu huluan Sungai Tiak dan Sungai Kupang.

"Hujan lebat itu melebihi keupayaan menampung air di huluan sehingga berlaku banjir kilat," kata Tuan Ibrahim.

Beliau berkata, paras kedalaman banjir yang direkodkan pada pukul 6 petang adalah 0.2 hingga 3.0 meter di Kampung Iboi, Kampung Padang Lengkuas, Kampung Bukit Hangus, Kampung Pisang dan Pekan Kupang.

Tuan Ibrahim berkata di kawasan hulu bencana banjir, terdapat aktiviti guna tanah yang menyebabkan berlaku aliran debris atau kepala air apabila hujan lebat. - Bernama