Projek tebatan banjir, bantuan lain menyusul: Ismail Sabri

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Bantuan lain bagi mangsa banjir lumpur di Baling, Kedah akan segera menyusul, termasuk kerja-kerja pembersihan kawasan dan projek-projek tebatan banjir yang kritikal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut memberikan jaminan bahawa kebajikan semua mangsa akan diberi perhatian sepenuhnya dengan kerjasama daripada semua pihak baik dari kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri.

Menurutnya, walaupun masih berada di Turkiye untuk lawatan rasmi, beliau tetap memantau kejadian banjir yang melanda kawasan berkenaan.

“Agensi penyelamat masih menjalankan tugas untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir. Semalam (Selasa), saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk menyelaraskan bantuan segera kepada semua mangsa yang terlibat.

“Bantuan-bantuan awal tersebut diberi kepada ketua isi rumah iaitu Bantuan Wang Ihsan RM1,000, Bantuan Barang Keperluan Asas RM2,500, Bantuan Barangan Elektrik RM500 dan pembaikan rumah.

“Saya amat berduka cita atas pemergian tiga mangsa yang telah meninggal dunia. Setiausaha Politik, Datuk Mohammad Anuar (Mohd Yunus) yang mewakili saya bersama pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyampaikan Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM10,000 seorang kepada waris-waris mangsa yang telah meninggal dunia tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bencana banjir yang berlaku di Lembangan Sungai Kupang dan Sungai Tiak, Baling Kedah telah meragut tiga nyawa dan menjejaskan seramai 1,490 orang mangsa yang melibatkan 112 ketua isi rumah.

Tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka iaitu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, PPS Surau An Nur dan PPS SMK Agama Al Khiriah bagi menempatkan kesemua mangsa.