JAS Selangor temui 100 tong sisa buangan punca Sungai Chandong merah

JAS Selangor menemui 100 tong IBC mengandungi sisa buangan dalam sebuah premis yang beroperasi sebagai tempat pengumpulan buangan di Pulau Indah, Klang pada Selasa.
JAS Selangor menemui 100 tong IBC mengandungi sisa buangan dalam sebuah premis yang beroperasi sebagai tempat pengumpulan buangan di Pulau Indah, Klang pada Selasa.
A
A
A

KLANG - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menemui 100 tong Intermediate Bulk Container (IBS) berisi pelbagai bahan buangan yang disyaki mencemarkan Sungai Chandong, Pulau Indah di sini pada Selasa.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, penemuan tersebut dibuat menerusi satu operasi serbuan di sebuah premis di sini yang juga pusat pengumpulan buangan terjadual tanpa kebenaran pihak terbabit.

Menurutnya, operasi yang disertai oleh anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada petang Selasa turut menemui kesan buangan pigmen berwarna merah pada penutup bahagian lori tangki yang juga berada di premis tersebut.

"Beberapa sampel buangan telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis kimia komposisi buangan.

"Siasatan atas kesalahan di bawah Seksyen 34B, 34A, Seksyen 18 dan Sekysen 19 Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 kini tertumpu kepada pemilik premis dan pengendali haram yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Nor Aziah berkata, sejak kejadian pencemaran yang dilaporkan pada 29 Jun lalu, sebanyak 14 buah premis sekitar Klang dan Shah Alam digempur pegawai JAS, namun tidak menemui kegiatan yang mencurigakan.

Ujarnya, penemuan dalam operasi pada Selasa tersebut hampir menyelesaikan misteri pencemaran air merah di Sungai Chandong.

Beberapa sampel buangan diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis kimia komposisi buangan.
Beberapa sampel buangan diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis kimia komposisi buangan.

"Saya berterima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat tentang aktiviti-aktiviti yang mencemarkan alam sekitar.

"Pihak JAS memandang serius dan sentiasa mengambil tindakan tegas serta tiada kompromi terhadap penjenayah alam sekitar.

"Saya menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800- 88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my," katanya.

Pada Rabu minggu lepas, air Sungai Chandong yang bertukar menajdi merah tular di media sosial sebelum kembali normal berikutan air pasang pada hari sama.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, kejadian disyaki daripada aktiviti pembuangan efluen di kawasan perindustrian Pulau Indah.