KPDNHEP Kuala Lumpur tumpas sindiket seleweng diesel bersubsidi

Ariffin (dua dari kanan) menunjukkan diesel bersubsidi yang diseleweng dan berjaya dirampas KPDNHEP Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
Ariffin (dua dari kanan) menunjukkan diesel bersubsidi yang diseleweng dan berjaya dirampas KPDNHEP Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
A
A
A

NILAI - Taktik sebuah sindiket yang membeli minyak diesel bersubsidi di stesen minyak yang jauh selain mengangkutnya menggunakan jalan sunyi merentasi perjalanan sejauh 110 kilometer terbongkar apabila berjaya dihidu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Isnin lalu.

Hasil risikan selama dua minggu, akhirnya sebuah stor haram di Taman Perindustrian Perdana, Bukit Palong, Lukut, Port Dickson berjaya diserbu penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar selepas KPDNHEP mengesan tindakan sebuah lori bonded yang membuat pembelian diesel bersubsidi dalam jumlah yang banyak di stesen-stesen minyak di sekitar Kuala Lumpur.

"Lori itu membuat pembelian di sekitar Cheras, Sungai Besi dan Hentian Rehat dan Rawat di sebuah lebuh raya sebelum membuat penghantaran ke stor haram yang beroperasi di Lukut.

"Siasatan awal mendapati, setiap hari, lori berkenaan akan pergi membeli diesel bersubsidi di 16 buah stesen minyak yang dianggarkan melebihi 6,000 liter dengan jumlah pembayaran hampir RM13,000," katanya pada sidang akhbar di Stor Eksibit KPDNHEP di sini pada Rabu.

Menurutnya, setiap transaksi pembelian dilakukan secara tunai bagi mengelakkan transaksi dikesan oleh pihak berkuasa.

Ujarnya, sindiket itu kemudiannya akan melalui jalan yang agak sunyi untuk menuju ke stor di Lukut bagi mengelak diekori pihak berkuasa.

"Dalam serbuan dilakukan, KPDNHEP telah menyita sebanyak 10,200 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM21,930.

"Turut disita iaitu dua buah lori tangki, sebuah lori bonded dan satu unit pam serta tiga unit hos minyak yang mana nilai keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM123,000.

Ariffin berkata, minyak diesel bersubsidi berkenaan dipercayai dijual kepada industri.

Tambahnya, empat lelaki warga tempatan berusia 30 hingga 45 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001," katanya.