Kerjasama pertahanan Jepun-Malaysia kian berkembang: Duta Besar

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerjasama pertahanan Jepun-Malaysia kian berkembang tahun demi tahun sebagai antara tonggak penting perkongsian strategik kedua-dua negara, kata Duta Besar Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi.

Beliau berkata, pada 2018, Menteri Pertahanan Malaysia mengadakan lawatan ke Jepun dan memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk merancakkan semula kerjasama pertahanan dua hala antara Tokyo-Kuala Lumpur dan turut menandatangani Perjanjian Pemindahan Peralatan dan Teknologi Pertahanan pada tahun yang sama.

Duta itu menegaskan, sejak beberapa tahun lalu sebelum pandemik berlaku, kapal dan pesawat Jepun kerap melawat Malaysia dan kapal pemusnah Jepun dan kapal frigat Malaysia pernah mengadakan beberapa latihan persahabatan di luar pantai Timur Malaysia dan Semenanjung Malaysia.

"Pertukaran kakitangan dalam bidang keselamatan juga telah dipertingkat," kata Takahashi dalam ucapannya sempena sambutan Hari Angkatan Pertahanan Jepun ke-68 di kediamannya pada malam Selasa.

Takahashi berkata, beliau amat berbesar hati untuk menganjurkan majlis sambutan itu ketika Jepun dan Malaysia meraikan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur dan ulang tahun ke-65 penubuhan hubungan diplomatik.

Dalam ucapannya, beliau turut menyebut bahawa empat rakyat Malaysia telah menamatkan pengajian dari Akademi Pertahanan Negara Jepun dan terkini lima lagi sudah mendaftar di akademi itu.

"Dari Jepun, 14 pelatih menamatkan pengajian di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia, termasuk atase pertahanan Kolonel Morita, yang turut hadir dalam majlis itu. Ketika kita sedang keluar dari fasa pandemik, kami berharap dapat mengadakan semula pertukaran petugas dan aktiviti antara kedua-dua negara. Mari kita berharap trend itu akan berterusan dan pulih semula seperti sebelum Covid-19," kata duta itu.

Takahashi berkata, negara Asia sedang mengalami pertumbuhan ekonomi dan mencapai kematangan politik, tetapi tidak daripada segi keselamatan. Beliau menjelaskan bahawa Angkatan Pertahanan Jepun telah menumpukan usaha gigih ke arah keamanan dan kestabilan Asia Tenggara serta Asia Timur Laut.

"Kita harus ingat bahawa keamanan tidak muncul begitu sahaja, tetapi perlu dicapai dan dikekalkan melalui usaha gigih kita sendiri dalam pertahanan dan diplomasi. Jepun berharap dapat bekerjasama dengan Malaysia dalam hal itu,” katanya.

Mengimbas kembali sejarah, Takahashi berkata, pasukan tentera moden Jepun telah ditubuhkan pada 1871, tidak lama selepas era pemerintahan Samurai berakhir. Pada 1954, pasukan itu kemudiannya ditransformasi kepada Pertahanan Darat, Maritim dan Udara seperti sekarang.

"Misi Pasukan Pertahanan kami menjadi semakin penting di tengah-tengah persekitaran keselamatan yang mencabar di sekitar Jepun dan Asia Timur,” katanya. - Bernama