Banjir: 280,000 akaun pengguna SADA di 3 daerah terjejas

Keadaan Kampung Iboi, Kupang selepas dilanda banjir pada Selasa. - Foto Bernama
Keadaan Kampung Iboi, Kupang selepas dilanda banjir pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Kira-kira 280,000 akaun pengguna Syarikat Air Darul Aman (SADA) di tiga daerah terjejas akibat banjir dan kepala air di Baling pada Isnin.

Menurut Komunikasi Korporat SADA, gangguan bekalan air di daerah Baling, Kuala Muda dan Kulim berlaku disebabkan kadar kekeruhan air mentah tinggi akibat banjir itu.

Menurutnya, banjir besar itu mengakibatkan operasi loji di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Petani, LRA Pinang Tunggal, LRA Kulim Hi-Tech, LRA Kuala Ketil Lama dan LRA Kuala Ketil Baru terpaksa dihenti tugas.

“Henti tugas lima buah LRA ini dijangka telah menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan anggaran 280,000 akaun merangkumi 48 kawasan utama di daerah terlibat.

“Sehubungan itu, Bilik Gerakan Ibu Pejabat telah diaktifkan serta-merta pada Rabu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pengguna boleh menyalurkan aduan atau pertanyaan menerusi talian 04-7408976 selain dari platform sedia ada iaitu Pusat Informasi Sada (SIC) di talian hotline 1300 88 0017.

"SADA memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengguna akibat gangguan bekalan air ini dan sedang giat mengambil langkah proaktif bagi mengatasi isu ini dengan kadar segera," katanya.