Pertuduhan edar dadah terhadap Yasin ditukar memiliki

Yasin (kiri) memakai baju T hitam ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi menghadapi pertuduhan kes dadah, pada Rabu.
Yasin (kiri) memakai baju T hitam ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi menghadapi pertuduhan kes dadah, pada Rabu.
A
A
A

PETALING JAYA - Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman terlepas hukuman gantung sampai mati selepas pertuduhan mengedar 214 gram dadah terhadapnya ditarik balik sebaliknya dituduh atas kesalahan memiliki 193.7 gram kanabis.

Dalam prosiding di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, Pengarah Pendakwaan Selangor, Khairul Azreem Mamat memohon agar penyanyi yang lebih dikenali sebagai Yasin itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dan dituduh semula bagi pertuduhan baharu di Mahkamah Sesyen.

"Mahkamah sebelum ini menetapkan Rabu untuk sebutan semula kes namun pihak pendakwaan memohon agar kes itu DNAA selepas laporan kimia diterima," katanya di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Sementara itu, Yasin yang diwakili peguam, Ariff Azami Hussein, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Azizul Syariman Mat Yusoff tidak membantah permohonan tersebut.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Yasin mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan memiliki kanabis dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.

Ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, bagi pertuduhan menanam 17 pokok ganja pihak pendakwaan memohon satu tarikh lain bagi serahan dokumen.

Dalam pada itu, Yasin turut mengaku tidak bersalah bagi satu lagi pertuduhan iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid' di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada jam 11.05 malam, hari sama.

Ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Hakim Jamaludin menetapkan 22 Ogos depan bagi sebutan ketiga-tiga kes.

Pada 31 Mac lalu, penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menanam 17 pokok disyaki Kanabis (ganja) di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Pada 22 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan, pertuduhan menanam 17 pokok ganja membabitkan penyanyi itu, kekal mengikut Seksyen 6B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sebelum ini, dia didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum 39B(2) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.