Syiling peringatan, setem kenang-kenangan dilancar

Shahidan (dua, kanan) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah (tengah) melancarkan syilling peringatan dan setem kenang-kenangan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur, pada Selasa. - Foto Bernama
Shahidan (dua, kanan) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah (tengah) melancarkan syilling peringatan dan setem kenang-kenangan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pos Malaysia mengeluarkan syiling peringatan, setem kenang-kenangan serta sampul surat hari pertama sempena memperingati sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, syiling peringatan itu akan dikeluarkan dalam dua denominasi iaitu syiling peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf) dengan nilai muka RM10 dan syiling peringatan emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.) dengan nilai muka RM1.

"Kedua-dua jenis syilling ini boleh didapati di BNM namun tarikh mula penjualannya akan diumumkan mereka (BNM) pada masa terdekat.

"Bagi setem kenang-kenangan dan sampul surat hari pertama pula, ia akan dijual kepada orang ramai pada harga RM38 setiap set mulai 7 Julai ini di Pejabat Pos dan Biro Filateli Pos Malaysia," katanya ketika berucap melancarkan Syiling Peringatan dan Setem Kenang-Kenangan sempena Sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Shahidan berkata, syiling peringatan itu merupakan pengeluaran edisi yang ketiga selepas 1972 dan 1990.

"Pada 1972, syiling peringatan, setem kenang-kenangan serta sampul surat hari pertama dikeluarkan sempena pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai bandar raya manakala pada 1990, ia dikeluarkan sempena sambutan ulang tahun ke-100 DBKL sebagai pihak berkuasa tempatan," katanya.

Shahidan berharap pengeluaran koleksi itu dapat dijadikan tanda kenangan yang cukup bermakna, sekali gus menjadi gambaran kepada kepesatan pembangunan yang dilalui Kuala Lumpur sepanjang lima dekad. - Bernama