Koperasi agromakanan boleh mohon pembiayaan

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

PUTRAJAYA - Koperasi yang terlibat dalam bidang agromakanan boleh membuat permohonan pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP) mulai sekarang bagi mempertingkatkan pengeluaran komoditi masing-masing.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar berkata, setakat ini TMP yang diletakkan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mempunyai dana sedia ada RM400 juta dan tambahan peruntukan RM100 juta di bawah Tabung Agromakanan.

"Kita beri keutamaan kepada koperasi agromakanan yang sedang mengusahakan pertanian dan penternakan. Sebagai contoh bela ayam, tanam sayur, koperasi mahu tambah, kita akan bagi," katanya menerusi sidang akhbar selepas majlis Apresiasi KUSKOP 2022, di sini pada Selasa.

Menurutnya, SKM akan mempermudahkan permohonan pembiayaan kepada koperasi yang terbabit.

"Sebagai contoh sewaktu koperasi membuat permohonan pembiayaan pada pertama kali mereka perlu meletakkan cagaran tanah di bank tetapi jika hendak tambah lagi empat atau lima reban ayam lagi, mana ada tanah lagi dah.

"Sebab itu kalau bawa kepada SKM, kita akan lihat berdasarkan projek yang berjalan, mungkin tidak perlu lagi letakkan cagaran tanah lagi dah," katanya.

Beliau berkata, dengan kemudahan tersebut, koperasi agromakanan dapat mempertingkatkan aktiviti yang diusahakan sekali gus dapat menstabilkan bekalan di pasaran.

"Mereka pasti mengembangkan lagi aktiviti mereka lebih-lebih lagi negara sememangnya mengharapkan agar pengeluaran sektor ini dipertingkatkan," katanya.

Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu mengumumkan peruntukan RM100 juta Tabung Agromakanan bagi membantu koperasi mengembangkan industri agromakanan khususnya penternakan ayam.

Peruntukan itu akan membantu koperasi meningkatkan pengeluaran makanan seterusnya mengurangkan masalah kenaikan harga barang yang memberi impak besar kepada Keluarga Malaysia.

Sementara itu mengulas mengenai menu Keluarga Malaysia di bawah koperasi, Noh berkata, terdapat 74 koperasi makanan di seluruh negara termasuk di institut pengajian tinggi (IPT).

"Apa yang boleh dibuat adalah adalah memperkenal set makanan contohnya pada harga 10 hingga 15 peratus lebih murah tetapi kalau nak tambah menu lain, perlu bayaran tambahan lah," katanya.

Pada Isnin, kerajaan mengumumkan memperkenalkan menu Keluarga Malaysia di restoran-restoran koperasi dan kafeteria serta premis jualan makanan di institusi-institusi pengajian tinggi sebagai alternatif bagi mendapatkan hidangan pagi, tengah hari dan malam pada harga yang berpatutan.

Langkah itu merupakan salah satu usaha kerajaan memastikan cabaran kos sara hidup dapat ditangani dengan sebaik mungkin.