[VIDEO] Jasad wanita, menantu hamil ditemukan berpelukan

Anggota bomba mengeluarkan mayat kedua-dua mangsa yang dijumpai dalam keadaan berpelukan di bawah timbunan kayu balak.
Anggota bomba mengeluarkan mayat kedua-dua mangsa yang dijumpai dalam keadaan berpelukan di bawah timbunan kayu balak.
A
A
A

BALING - Jasad wanita dan menantunya yang hanyut dalam kejadian banjir lumpur ditemukan dalam keadaan berpelukan di bawah timbunan kayu balak di Kampung Iboi, Kupang dekat sini pada Selasa.

Dua mangsa tersebut, Salmah Mat Akib, 53, dan Nurul Anis Abu Hassan, 23, ditemukan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah kira-kira jam 9.30 pagi.

Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, kedua-duanya dijumpai kira-kira 100 meter dari lokasi rumah mereka yang hanyut.

"Pasukan penyelamat ini dipecahkan kepada tiga pasukan dan mereka melakukan operasi pencarian bermula jam 8 pagi. Pada jam 9.30 pagi mangsa pertama ditemui adalah Nurul Anis dan selang 15 minit kemudian kita temui mangsa kedua, Salmah.

Anggota bomba mengusung mayat mangsa keluar dari lokasi kejadian.
Anggota bomba mengusung mayat mangsa keluar dari lokasi kejadian.

"Kedua-dua mangsa ditemui di bawah timbunan kayu dan proses mengeluarkan dilakukan secara berhati-hati untuk mengelakkan kecederaan pada jasad," katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian banjir lumpur di Kampung Iboi, pada Selasa.

Mengulas lanjut, pasukan penyelamat ternampak kaki Nurul Anis sebelum berjaya menemui kedua-dua mangsa.

"Bagi pencarian mangsa ketiga (Khairul Ikwan Nor Azman) yang masih hilang, kami akan perluaskan kawasan pencarian sedikit demi sedikit," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Sinar Harian melaporkan seorang wanita strok termasuk menantu yang sedang hamil dan seorang lagi anak lelaki dikhuatiri hilang setelah rumah mereka dibawa arus dalam kejadian kepala air di Kampung Iboi, Kupang.

Kesemua mangsa, Salmah Mat Akib, 53, Nurul Anis Abu Hassan, 23, dan Khairul Ikwan Nor Azman,14, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai dipercayai berada di rumah ketika kejadian kira-kira jam 5 petang.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, kejadian disedari suami Salmah, Abdul Rahman Said, 71, yang terlebih dahulu menerima panggilan telefon daripada Nurul Anis mengatakan rumah jiran mereka dilanda banjir.