Himpunan Barang Naik: Adam Adli antara enam ahli AMK dirakam keterangan

Adam Adli ketika ditemui di IPD Dang Wangi pada Isnin.
Adam Adli ketika ditemui di IPD Dang Wangi pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai enam ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) dirakam keterangan berhubung kehadiran mereka pada Himpunan Barang Naik anjuran mahasiswa di Pasar Seni pada Sabtu.

Kesemua mereka hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini sekitar jam 3.00 petang dan masuk serentak bersama peguam mereka sebelum dilihat keluar lebih kurang pada jam 3.57 petang.

Ahli AMK, Adam Adli Abd Halim menyifatkan tindakan pihak polis memanggil peserta perhimpunan yang berhimpun dengan aman merupakan satu bentuk intimidasi berterusan terhadap pihaknya.

"Saya anggap ini sebagai satu intimidasi berterusan, pagi tadi pun ada sebahagian pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) turut dipanggil untuk disiasat.

"Tahun ini dah banyak kali dipanggil sedangkan kita tahu ini adalah hak yang dijamin dalam Perlembagaan negara untuk berhimpun dan berucap," katanya ketika ditemui selepas selesai memberi keterangan pada Isnin.

Dalam pada itu, peguam, Rabiatul Adawiyah Sulaiman berkata, kesemua individu berkenaan memberikan kerjasama terbaik kepada pihak polis sepanjang soal siasat dijalankan dan faham tindakan pihak berkuasa yang hanya menjalankan tugas mereka.

"Dalam kes ini sebenarnya tiada isu pun, tiada berlaku kekecohan antara mereka yang hadir cuma isu tiada notis sahaja. Kita beri kerjasama kerana kita faham mereka menjalankan tugas dan tidak mahu kes ini dipanjangkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kehadiran enam individu terbabit untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana gagal memberi notis berhimpun.

Beliau memberitahu, seramai sembilan lagi individu berkenaan diminta untuk hadir di IPD Dang Wangi pada Rabu untuk dirakam keterangan berhubung perhimpunan di Pasar Seni tersebut.