Ibu pilu lihat anak maut kemalangan

Keadaan motosikal mangsa yang remuk dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan Honda CRV di Jalan Air Tanai, Air Pa’abas pada Isnin.
Keadaan motosikal mangsa yang remuk dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan Honda CRV di Jalan Air Tanai, Air Pa’abas pada Isnin.
A
A
A

ALOR GAJAH - Pilu hati seorang ibu apabila mengetahui kemalangan maut membabitkan dua kenderaan yang dilalui di Jalan Air Tanai, Air Pa’abas pada Isnin merupakan insiden yang meragut nyawa anaknya.

Dalam kejadian jam 6.20 pagi itu, pelajar Tingkatan Dua, Muhammad Khiesyam Mohamad Jamel yang menunggang motosikal Modenas Kriss dalam perjalanan ke sekolah sebelum dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV.

Rusita Mohamad Aris, 54, yang juga ibu tunggal berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan menghantar anak bongsunya berusia 10 tahun ke sekolah sebelum ternampak kemalangan terbabit dan seorang mangsa terbaring di atas jalan.

Menurutnya, biarpun perasaannya berdebar ketika itu namun dia tidak mengesyaki apa-apa sebelum dihubungi jiran yang memaklumkan berita sedih menimpa anak keduanya itu.

"Tiba-tiba jiran telefon beritahu anak saya yang dipanggil Acik terbabit kemalangan.

"Arwah tak menunjukkan sebarang perubahan dan sempat bersalaman dengan saya sebelum keluar rumah untuk ke sekolah," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Alor Gajah.

Mengulas lanjut, Rusita berkata, anaknya baharu sebulan berulang alik ke sekolah memandangkan sebelum ini dia menetap di asrama sekolah sukan.

"Kebiasaannya saya hantar dia ke sekolah, cuma hari ini dia nak pergi sendiri kerana tidak mahu menyusahkan saya berulang-alik," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan berlaku apabila kenderaan Honda CRV yang dipandu lelaki berusia 60 tahun dalam perjalanan ke Alor Gajah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

"Akibatnya kenderaan itu tidak dapat mengelak dan merempuh motosikal ditunggangi mangsa.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.