Himpunan Barang Naik: 9 pemimpin Amanah dirakam keterangan

Enam pemimpin parti politik hadir ke IPD Dang Wangi bersama peguam mereka untuk dirakam keterangan pada Isnin.
Enam pemimpin parti politik hadir ke IPD Dang Wangi bersama peguam mereka untuk dirakam keterangan pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai enam pemimpin politik hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Isnin

untuk dirakam keterangan berhubung penganjuran Himpunan Barang Naik oleh Biro Mobilisasi dan Biro Pengguna di hadapan Masjid Jamek, sejurus selesai solat Jumaat 1 Julai lalu.

Kesemua individu tersebut yang merupakan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) hadir bersama peguam masing-masing sekitar jam 9.50 pagi pada Isnin.

Antara yang hadir ialah Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah, Ir Izham Hashim; ADUN Taman Templer, Mohd Sany Hamzan; Naib Presiden Amanah, Adly Zahari; Ketua Wanita Muda Amanah, Nurthaqaffah Nordin dan wakil Angkatan Wanita Amanah, Anfal Saari.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kesemua individu terbabit dipanggil untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Pada hari ini (Isnin) seramai enam pemimpin parti politik telah dipanggil rakam keterangan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Secara keseluruhan seramai sembilan individu telah dirakam keterangan termasuk Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad dan Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda telah dipanggil pada Sabtu dan Ahad lalu," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, seorang lagi individu iaitu Setiausaha Agung Amanah merangkap Ahli Parlimen Lumut, Datuk Mohd Hatta Md Ramli akan hadir ke IPD Dang Wangi untuk dirakam keterangan pada Rabu.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan pihak polis telah mengenal pasti individu terlibat dalam penganjuran Himpunan Barang Naik oleh Biro Mobilisasi dan Biro Pengguna di luar pintu Masjid Jamek Kampung Baru pada Jumaat.

Pihak polis dilaporkan berkata, perhimpunan tersebut tidak memperoleh permit sah untuk berhimpun justeru individu berkenaan dikenalpasti untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.