Tumpu pengundi muda rampas kerusi Parlimen Sungai Besar

Jamal
Jamal
A
A
A

SEKINCHAN - UMNO Bahagian Sungai Besar memberi tumpuan kepada pengundi muda berusia 18 hingga 25 tahun yang menjadi penentu kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, pada masa ini terdapat seramai 23,800 pengundi muda menjadi daftar pemilih terbesar di Parlimen Sungai Besar.

"Pengundi muda ini menjadi penentu kerana penyumbang kepada 48 peratus keputusan PRU15," katanya pada sidang akhbar selepas Program Santai Mesra NGO Anak Muda Geng 18 Bersama Presiden UMNO di M Sekin Wonderland di sini pada Ahad.

Katanya, bagaimanapun, jumlah daftar pengundi muda meningkat pada setiap bulan dan dijangka mencapai seramai 25,000 atau 52 peratus pada Oktober depan.

"Inilah cabaran yang perlu kita hadapi untuk mendapatkan maklumat pengundi muda terutama mereka yang tinggal di luar kawasan," ujarnya.

Mengulas mengenai pertemuan UMNO Bahagian Sungai Besar bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Jamal memberitahu, kehadiran Ahmad Zahid memberi suntikan semangat kepada ahli jawatankuasa (AJK) UMNO bahagian dan petugas pilihan raya.

Katanya, Ahmad Zahid dalam perjumpaan tertutup UMNO bahagian Sungai Besar memberikan pandangan dan pendapat serta amanat beliau bagi memastikan UMNO kembali merampas Parlimen berkenaan.

"Presiden memberitahu solidariti dan perpaduan dalam kalangan ahli UMNO Sungai Besar paling utama untuk kita kembali merampas kerusi Parlimen Sungai Besar," ujarnya.