[VIDEO] Lelaki ubah suai kereta menyerupai kenderaan polis ditahan

Sebuah kereta yang diubah suai menyerupai kenderaan milik polis dikesan dalam satu pameran kenderaan bermotor di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini pada Sabtu.
Sebuah kereta yang diubah suai menyerupai kenderaan milik polis dikesan dalam satu pameran kenderaan bermotor di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini pada Sabtu.
A
A
A

SEPANG - Padah mengubah suai kereta menyerupai kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), seorang lelaki ditahan dalam satu ekspo kenderaan bermotor di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kenderaan jenis Nissan Skyline R32 milik individu terbabit sebelum ini menjadi tular apabila menyerupai kenderaan rasmi polis dalam ekspo tersebut.

Menurutnya, siasatan mendapati Nissan Skyline R32 itu mempunyai logo dan corak menyerupai kenderaan polis.

"Siasatan yang dijalankan berdasarkan penularan video di media sosial itu kemudian membawa kepada penangkapan suspek yang merupakan pemilik sebuah kedai aksesori kereta berumur 45 tahun dan merupakan pemilik Nissan Skyline R32 terbabit.

"Tangkapan yang dijalankan kira-kira jam 10.30 malam itu turut merampas sebuah Nissan Skyline R32, satu rangkai kunci dan sekeping slip penyertaan pameran," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, siasatan lanjut berkaitan kes tersebut masih dijalankan dan disiasat di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967.

Pada Sabtu, tular satu video menerusi aplikasi TikTok yang memaparkan sebuah kereta awam menyerupai kenderaan milik polis dalam satu pameran kenderaan bermotor di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.

Video berdurasi 13 saat itu dipercayai dimuat naik oleh seorang pemilik akaun TikTok sebelum ia menjadi tular di media sosial.