Raja Muda Selangor meterai MoU bantu belia IKS

Tengku Amir Shah (tengah) menyaksikan pemeteraian MoU antara SAY dengan Halal Street UK di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London, United Kingdom pada Jumaat. - Foto: FB Selangor Royal Office
Tengku Amir Shah (tengah) menyaksikan pemeteraian MoU antara SAY dengan Halal Street UK di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London, United Kingdom pada Jumaat. - Foto: FB Selangor Royal Office
A
A
A

SHAH ALAM - Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan memeterai perjanjian memorandum persefahaman (MoU) bersama Halal Street UK di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London, United Kingdom pada Jumaat.

Selangor Royal Office dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, MoU berkenaan merupakan inisiatif Tengku Amir Shah melalui Selangor Youth Community (SAY) bagi membantu usahawan dalam industri kecil dan sederhana (IKS) menembusi pasaran antarabangsa.

Menurut hantaran tersebut, usaha tersebut turut menggalakkan para usahawan khususnya golongan belia menembusi pasaran di United Kingdom dan Eropah menerusi platform Halal Street UK.

"Majlis disaksikan oleh baginda sendiri serta tetamu kehormat lain antaranya, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom, Zakri Jaafar, dan Pesuruhjaya Perdagangan di London, Megat Iskandar Ahmad Dassilah," kata hantaran tersebut pada Ahad.