Gergasi Merah kurang bermaya

No Image Caption
A
A
A

BEKAS pemain pertahanan kanan Selangor, Ristomoyo Kassim sedih melihat kejatuhan prestij dan prestasi skuad Gergasi Merah dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) ketika ini.

Ristomoyo yang menjadi pemain Indonesia terawal beraksi di Malaysia apabila mewakili Selangor dari tahun 1986 hingga 1987 mengakui terkilan dengan situasi menimpa juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu yang dulu merupakan gergasi bola sepak tempatan.

Berdasarkan pemerhatiannya, pemain kebangsaan Indonesia dari 1982 sehingga 1985 itu berkata kemerosotan prestasi Selangor FC dipengaruhi barisan pemain yang kurang berdaya saing.

"Dari segi pelatih (jurulatih) saya tak payah sebut sebab kadang-kadang individu tempatan atau luar negara tak jadi masalah, saya lebih tekankan dari aspek pemain, (Selangor FC) kurang pemain yang berkemampuan.

"Kalau sudah materi (kualiti) pemain kurang bagus memang susah nak bersaing dengan pasukan lain seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan lain-lain...dulu kita kalahkan Johor sampai 6-1 tapi sekarang sudah bertukar, JDT pula bantai Selangor," katanya ketika ditemui di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ristomoyo yang membantu Selangor menjuarai Piala Malaysia 1986 berkata Selangor FC kini tidak lagi dibarisi pemain terbaik negara seperti ketika di zamannya.

"Kalau zaman saya berbeza, memang pasukan Selangor di dalamnya sudah ada pemain terbaik Malaysia seperti arwah Datuk Mohd Mokhtar Dahari, mendiang Datuk R. Arumugam dan Zainal Abidin Hassan. Saya memang beruntung dan itu bezanya dulu dan sekarang," katanya.

Beliau yang masih mengikuti perkembangan bekas pasukannya itu turut beranggapan Selangor FC sepatutnya sudah lebih maju ke hadapan mengambil kira kehebatan dan asas yang ada pada mereka berbanding kelab lain sebelum ini.

Katanya ketika zaman Selangor diperkuat dengan beberapa pemain Indonesia seperti Bambang Pamungkas, Elie Aiboy dan Andik Vermansah, pasukan masih mampu bersaing memburu kejuaraan, namun situasi berubah dalam sekelip mata.

"Sebelum ini pada zaman Bambang, Elie dan Andik bersama Selangor pasukan masih bagus tetapi apabila pada zaman Evan Dimas Darmono dan dengan JDT sudah banyak ambil pemain Selangor, jadi kelihatan pasukan macam sudah tak bermaya," katanya.

Musim ini, Selangor FC kendalian jurulatih dari Jerman, Michael Feichtenbeiner bergelut meraih keputusan konsisten dalam saingan Liga Super apabila mencatat tiga kemenangan, tiga seri dan tewas dua kali setakat ini sekali gus berada di kedudukan keenam.

Sebagai rekod, kali terakhir skuad Gergasi Merah menikmati kejayaan adalah ketika menewaskan Kedah pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2015, sebelum terlepas peluang mempertahankan kejuaraan sama pada musim berikutnya apabila kecundang kepada lawan sama di pentas final.

Selangor juga masih gagal menamatkan penantian 12 tahun menjuarai Piala FA dengan pencapaian terbaik sejak menjulang trofi kejuaraan itu pada 2009 adalah mara ke perlawanan akhir pada musim 2018, namun kecundang di tangan Pahang.

Dalam kancah saingan Liga Super, rekod terbaik Selangor selepas menjuarai musim 2010 adalah muncul naib juara pada 2013, 2014 dan 2015. - Bernama