Hans Isaac nafi terlibat politik wang untuk raih undi

Tangkap layar kenyataan Nadhirah di Instagram Story Hans Isaac pada Jumaat.
Tangkap layar kenyataan Nadhirah di Instagram Story Hans Isaac pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengarah dan pelakon, Datuk Gerald Hans Isaac, 51, atau dikenali sebagai Hans Isaac menafikan dakwaan pihaknya mengamalkan politik wang bagi meraih undi ketika Pemilihan PKR 2022.

Pegawai Politik Pejabatnya, Nadhirah Farhanah berkata, surat aduan rasmi yang mendakwa Hans Isaac melakukan perbuatan tersebut adalah cubaan bagi menjatuhkan nama baik serta reputasi dalam karier politik beliau.

Menurutnya, pengundian beliau sewaktu Pemilihan PKR 2022 dibuat menggunakan sistem demokrasi oleh pengundi PKR di Ampang, selain sokongan pengundi atas pagar yang mahukan pembaharuan.

"Hans Isaac selaku penyandang Ketua PKR Cabang Ampang yang baharu tidak pernah sama sekali mengamalkan politik wang bagi meraih undi, malah beliau serta pasukan sentiasa bersikap professional dan berintegriti dalam melaksanakan sesuatu tugas.

"Sekali lagi, ditegaskan bahawa Hans Isaac sama sekali tidak terlibat dan menafikan kesemua dakwaan yang dilempar serta tohmahan palsu tersebut," katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik dalam Instagram Story Hans Isacc pada Jumaat.

Dalam pada itu, Nadhirah berkata, pihaknya akan menyerahkan kenyataan rasmi dan laporan kepada pihak berwajib termasuk Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) bagi meneliti aduan dan tuduhan untuk menepis segala fitnah yang dilemparkan.

Pada Jumaat, Hans Isaac berjaya memenangi jawatan Ketua PKR Cabang Ampang dalam Pemilihan 2022.

Beliau berjaya meraih 748 undi selepas pemilihan semula dilakukan pada Rabu berikutan kes salah laku pengundian di cabang berkenaan pada hujung Mei lalu.