Tiada serangan terhadap Ismail Sabri sebagai PM: Najib

Najib
Najib
A
A
A

PENAMPANG - Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa tiada serangan terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Katanya, serangan itu mungkin datang daripada barisan menteri yang bukan dalam UMNO namun BN tetap menyokong penuh Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

"Dalam parti kita memang tak serang dia sebagai Perdana Menteri, kita sokong Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

"Tetapi mungkin ada menteri-menteri bukan dalam UMNO yang boleh dipertikaikan kenyataan-kenyataan dan sebagainya, itu jadi agaknya punca mereka kritik pihak-pihak tertentu, tetapi Perdana Menteri, Ismail Sabri dapat sokongan penuh," katanya dalam sidang akhbar selepas hadir pada Konvensyen BN Sabah, di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC), di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas ucapan Ismail Sabri pada majlis makan malam sempena konvensyen itu yang mengingatkan bahawa serangan terhadap beliau akan melemahkan BN.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, BN memerlukan kesepaduan iaitu kesepakatan bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU).

Najib ketika berucap pada Konvensyen BN Sabah, di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC), Penampang.
Najib ketika berucap pada Konvensyen BN Sabah, di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC), Penampang.

"Kita memang menjadikan kestabilan itu sebagai 'tagline', kestabilan demi kemakmuran, tidak ada sesiapa menyerang BN pun.

"Bahkan, kita memperakui bahawa BN dalam mesyuarat Majlis Tertinggi baru-baru telah pun perakui sekali lagi bahawa Perdana Menteri adalah merupakan calon atau 'poster boy' untuk menghadapi pilihan raya," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, ia jelas menunjukkan keikhlasan untuk memastikan ketenangan dalam parti dapat dicapai sebelum PRU.

"Cakap-cakap satu atau dua orang tak boleh dijadikan dasar parti, dasar parti jelas kita memperakukan bahawa 'poster boy' kita ialah Datuk Seri Ismail Sabri untuk kita sama-sama hadapi pilihan raya," tegasnya.