Ismail Sabri jelaskan sebab tidak hadir Konvensyen BN Sabah

Ismail Sabri bersama barisan kepimpinan BN pada Majlis Makan Malam sempena Konvensyen BN Sabah di Bangunan UMNO, Kota Kinabalu, pada Jumaat.
Ismail Sabri bersama barisan kepimpinan BN pada Majlis Makan Malam sempena Konvensyen BN Sabah di Bangunan UMNO, Kota Kinabalu, pada Jumaat.
A
A
A

KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan bahawa beliau tidak dapat hadir pada majlis Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sabah yang diadakan pada Sabtu.

Penjelasan itu sekali gus menolak dakwaan pihak luar bahawa beliau tidak akan berucap pada konvensyen yang akan diadakan di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC) Penampang.

"Sebenarnya malam ini saya tidak rancang, sepatutnya saya diberi slot esok tetapi saya mohon maaf tidak dapat hadir kerana akan merasmikan Mesyuarat Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), kerana MTUC ini tak pernah rapat dengan BN.

"Jadi sebab itulah (apabila) saya diberi jemputan, saya terima jemputan tersebut. Apabila dijemput untuk menghadiri konvensyen ini saya datang tapi esok saya memang tak dapat (hadir)," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Konvensyen BN Sabah di Bangunan UMNO di sini, pada Jumaat.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Ismail Sabri berkata, beliau terpaksa menerangkan perkara itu bagi mengelak sebarang spekulasi oleh pihak lain.

"Apabila saya tidak hadir Mesyuarat Majlis Tertinggi, saya dikatakan memboikot mesyuarat sendiri. Sedangkan saya sudah berhubung dengan Presiden UMNO, maklumkan kepada Presiden bahawa saya tak dapat datang kerana ada mesyuarat antarabangsa yang dipengerusikan Presiden Republik China bersama 17 ketua negara dan ketua kerajaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengambil langkah untuk tampil membuat penjelasan termasuk memberi ucapan bagi mengelak sebarang spekulasi.

"Sekarang ini semua orang kena tahu apa yang kita buat. Kalau tidak macam-macam spekulasi.

"Sebab sudah ada orang kata, Perdana Menteri discard daripada berucap di konvensyen Sabah, sudah keluar di TikTok saya discard, jadi malam ini saya berucap," katanya.

Tambahnya, keadaan itu menunjukkan bahawa pihak di luar sedang cuba memecahbelahkan perpaduan sesama sendiri di dalam parti.

"Semakin kita bercakap soal pilihan raya, semakin rancak kumpulan dari luar ingin memecahbelahkan," katanya.

Sebelum itu, Ismail Sabri berkata, konvensyen yang diadakan itu bertujuan untuk merapatkan barisan kepimpinan BN di Sabah, selain persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).