Kekurangan minyak masak peket hanya sementara

Azman (dua dari kiri) dan Azman (kiri) semasa pemeriksaan penguatkuasaan sempena pelaksanaan penentuan harga maksimum ayam dan telur di Pasar Besar Alor Setar pada Sabtu.
Azman (dua dari kiri) dan Azman (kiri) semasa pemeriksaan penguatkuasaan sempena pelaksanaan penentuan harga maksimum ayam dan telur di Pasar Besar Alor Setar pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Masalah kekurangan minyak masak peket subsidi yang berlaku di negara ini bersifat sementara dan dijangka selesai dalam masa beberapa hari.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, permintaan yang tinggi daripada pengguna menyebabkan bekalan minyak peket cepat habis di pasaran.

Menurutnya, kerajaan telah memperuntukkan 60,000 tan metrik minyak masak paket bersubsidi kepada pengilang sebelum diagihkan kepada pembungkus dan pemborong pada setiap bulan.

"Hari pertama atau kedua pada setiap bulan, pembungkus atau pemborong mula mendapatkan kuota dari kilang dan selepas itu mereka akan mula membuat pengeluaran tersebut.

"Sebenarnya kekurangan bekalan minyak peket ini bukan isu pembelian panik, tetapi disebabkan permintaan sangat tinggi kerana perbezaan subsidi kerajaan dengan yang tidak subsidi.

"Kuota minyak masak subsidi yang ditanggung oleh kerajaan ini dijual dengan harga sangat rendah iaitu RM2.50 sebab itu ia mendapat permintaan tinggi daripada pengguna," katanya ketika sidang akhbar pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pemeriksaan penguatkuasaan sempena pelaksanaan penentuan harga maksimum ayam dan telur di Pasar Besar Alor Setar.

Hadir sama dalam pemeriksaan itu adalah Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Azman Mohd Yusof dan Pengarah KPDNHEP Kedah, Affendi Rajini Kanth.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Azman melihat tiada sebab peniaga menjual ayam melebihi harga siling RM9.40 yang telah ditetapkan oleh kerajaan terutamanya di kawasan luar bandar.

Menurutnya, isu perbezaan harga jualan ayam di bandar dan luar bandar seharusnya tidak timbul kerana harga yang ditetapkan kerajaan dibuat selepas mengambil kira margin keuntungan yang mencukupi bagi semua peringkat.

“Jika benar-benar berlaku perbezaan harga terutamanya di kawasan luar bandar, KPDNHEP mengalu-alukan aduan daripada pengguna. Berikan maklumat lengkap termasuk harga dan tempat jualan bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.

Tambahnya, KPDNHEP telah memeriksa 1,873 premis menjual ayam, telur dan minyak masak di seluruh negara, tetapi tiada kes yang membabitkan penjualan melebihi harga kawalan.