Korban masa depan demi jaga ibu

Farihah Zakaria (kiri) ditemani bapanya, Zakaria Yaakub menguruskan ibunya, Rozita Aroff yang terlantar di Kampung Kubang Kuar, mukim Ayer Puteh, Pendang.
Farihah Zakaria (kiri) ditemani bapanya, Zakaria Yaakub menguruskan ibunya, Rozita Aroff yang terlantar di Kampung Kubang Kuar, mukim Ayer Puteh, Pendang.
A
A
A

PENDANG - Seorang anak sanggup berhenti kerja dan mengorbankan masa depan demi menjaga ibunya yang terlantar akibat kemalangan di Kampung Kubang Kuar, mukim Ayer Puteh, di sini.

Farihah Zakaria,27, yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik melakukan pengorbanan itu bagi menguruskan ibunya, Rozita Aroff, 55, yang terlantar sejak Mei lepas.

Farihah berkata, dia sanggup meninggalkan kerja yang selesa sebagai seorang kerani di sebuah syarikat swasta demi berbakti kepada insan tersayang dalam hidupnya.

"Pada hari kejadian, mak yang melakukan puasa enam dipercayai keluar membeli barangan keperluan harian untuk kami sekeluarga berbuka puasa sebelum dilanggar sebuah motosikal pada 17 Mei lalu.

"Akibat kemalangan itu, mak mengalami pendarahan di bahagian kepala hingga terpaksa menerima rawatan selama dua minggu di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), dimasukkan ke wad dan dibenarkan keluar pada pertengahan Jun lepas," kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Farihah berkata, dia perlu memberi tumpuan sepenuhnya untuk menjaga ibunya yang memerlukan penjagaan rapi termasuklah memberi makanan setiap tiga jam semenjak kemalangan itu.

"Emak bukan sahaja tidak boleh bercakap dan menguruskan diri sendiri, malah sudah tidak mampu makan sendiri. Jadi, setiap tiga jam saya akan memberi emak makan melalui tiup yang dipasang pada bahagian hidungnya.

"Malah, saya perlu menyedut kahak dengan kerap melalui tiup dipasang pada bahagian lehernya bagi memastikan pernafasan emak tidak terganggu," katanya.

Katanya, dia mengambil tanggungjawab itu memandangkan adiknya, Farhana, 24, sedang menjalani latihan industri dan adik bongsu, Nur Syahirah,19, masih belajar di peringkat tingkatan enam di sebuah sekolah.

Menurutnya, dua adik perempuannya akan turut sama-sama membantu dan bergilir-gilir menguruskan ibunya selepas mereka pulang dari sekolah atau tempat praktikal.

Bapa mereka, Zakaria Yaakub, 58, berkata, mereka lima beranak kini bergantung sepenuhnya dengan pendapatan dirinya lebih kurang RM2,000 sebulan sebagai tukang masak.

Bagaimanapun, Zakaria memberitahu, pendapatan diperolehinya tidak mencukupi bagi menampung keperluan mereka sekeluarga khususnya kos penjagaan isterinya yang tinggi.

"Bayangkan, kami memerlukan kira-kira RM900 sebulan untuk susu khas isteri, itu pun belum termasuk kos lampin pakai buang sekitar RM200 sebulan dan lain-lain. Jadi, memang tidak cukup memandangkan ada anak yang masih belajar.

"Jikalau dahulu, isteri juga membantu menampung perbelanjaan kami dengan memotong getah, manakala anak sulung turut bekerja namun kini kesemuanya terletak di bahu saya selepas kemalangan itu," katanya.

Keluarga Zakaria memerlukan kira-kira RM900 sebulan untuk membeli dua susu khas digunakan isterinya di Kampung Kubang Kuar, mukim Ayer Puteh, Pendang.
Keluarga Zakaria memerlukan kira-kira RM900 sebulan untuk membeli dua susu khas digunakan isterinya di Kampung Kubang Kuar, mukim Ayer Puteh, Pendang.

Zakaria berkata, dia bersyukur anak-anak sanggup berkorban menjaga ibu mereka bagaimanapun buntu memikirkan kos penjagaan isterinya yang tinggi, ditambah kos sara hidup makin tinggi ketika ini.

Katanya, mereka ada mengemukakan permohonan bantuan untuk menampung keperluan isterinya, sekali gus berharap ia diluluskan segera bagi meringankan bebanan ditanggung mereka.

Orang ramai boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun bank CIMB 7615595176 atas nama Farihah Zakaria.