Malaysia tuan rumah Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8

Tunku Azizah berkenan berangkat ke sidang media Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8 2022 di Istana Negara pada Jumaat. - Foto Bernama
Tunku Azizah berkenan berangkat ke sidang media Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8 2022 di Istana Negara pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yayasan Tenun Pahang Diraja akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8 yang akan diadakan di Putrajaya pada 25 hingga 30 September ini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, simposium itu akan menghimpunkan penggiat seni tekstil, artisan dan penenun dari seluruh Malaysia, ASEAN dan rantau lain untuk berkongsi maklumat mengenai keunikan tekstil masing-masing.

Simposium dwitahunan itu akan menampilkan keindahan seni tekstil negara termasuk songket dan batik serta teknik penghasilan tekstil seperti tekat, tenun, telepuk dan menggerus untuk dipelajari oleh masyarakat dunia.

"Selain mengeratkan persaudaraan dalam kalangan negara-negara ASEAN di mana mereka juga sama-sama menggunakan teknik menenun, membuat batik cuma lain sikit, kita juga ingin ketengahkan semua jenis kraf di Malaysia.

"Kita juga ingin menunjukkan apa kerajaan Malaysia buat dalam memperjuangkan kraf walaupun tidak mempunyai banyak reka bentuk seperti negara lain. Kita nak tunjuk apa kerajaan kita buat untuk memastikan hasil kraf ini berkekalan,” titah Seri Paduka pada sidang media di Istana Negara pada Jumaat.

Tunku Azizah yang juga pengasas dan penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja bertitah, baginda sendiri telah menamakan Malaysia sebagai tuan rumah simposium kali ini bagi memastikan baginda dapat terlibat sama dalam penganjuran acara yang bermakna itu.

"Sepatutnya untuk Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8 ini Singapura menjadi tuan rumah, namun saya minta daripada Singapura untuk beri Malaysia dahulu kerana semasa saya berada di sini (Istana Negara), biarlah saya dapat hos simposium ini,” titah baginda.

Tunku Azizah bertitah, pelbagai koleksi menarik akan dipamerkan pada simposium itu antaranya koleksi tenun peribadi Seri Paduka sendiri, hasil tenunan dari penjara serta koleksi peribadi tokoh budaya Allahyarhamah Sharifah Azah Mohamed Alsagoff, atau lebih dikenali sebagai Azah Aziz.

Pada simposium itu, sebanyak 17 kertas kerja akan dibentangkan oleh 13 negara antaranya Brunei Darussalam, Indonesia, Kemboja, Kanada, India, Filipina dan Myanmar bagi membincangkan berkaitan pemeliharaan dan kelestarian tekstil tenunan asli di rantau ASEAN.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka merasmikan pembukaan simposium itu dan Raja Permaisuri Agong akan menyampaikan ucaptama pada majlis yang sama.

Yayasan Tenun Pahang Diraja ditubuhkan untuk membangunkan Tenun Pahang Diraja sebagai satu perusahaan kraf warisan yang mampu memperbaiki taraf hidup rakyat dengan mencipta peluang pekerjaan yang saksama bagi pekerja seni, penenun dan tukang.

Menyentuh mengenai Minggu Kraf London (LCW) yang menampilkan keindahan Tenun Pahang Diraja pada 9 hingga 15 Mei lepas, Tunku Azizah menzahirkan perasaan bangga apabila menerima sehingga 3,000 pengunjung pada pameran tersebut.

Berkongsi pengalaman itu, Seri Paduka bertitah bahawa pengunjung yang hadir memuji keunikan dan kecantikan tenunan yang dihasilkan daripada program tenunan dari penjara selain menyanjung tinggi usaha yang dimainkan baginda serta kerajaan Malaysia dalam mengiktiraf seni kraf negara.

"Ramai yang datang tak percaya apa yang kami bawa ini adalah hasil banduan dari penjara. Saya ada beritahu mereka kita telah pergi jauh sejak kita menjenamakan Tenun Pahang Diraja pada 2005. Tujuh belas tahun... Alhamdulillah saya sangat gembira pameran itu mendapat sambutan.

"Ramai yang datang dari pagi sampai ke petang. Mereka dapat merasai hasil air tangan banduan yang kami turut bawa seperti biskut, sardin roll dan mini murtabak,” titah Seri Paduka. - Bernama