[VIDEO] Gesaan segerakan pemilihan UMNO tidak selari perlembagaan

Ahmad menyerahkan sijil dan sumbangan kepada pelajar cemerlang SPM Parlimen Pontian di SMK Parit Betak pada Jumaat.
Ahmad menyerahkan sijil dan sumbangan kepada pelajar cemerlang SPM Parlimen Pontian di SMK Parit Betak pada Jumaat.
A
A
A

PONTIAN - Gesaan agar UMNO mengadakan pemilihan parti secepat mungkin sebelum PIlihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat bercanggah dengan keputusan dua Perhimpunan Agung UMNO (PAU) termasuk PAU khas pada Mei lalu.

Setiuasaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan perhimpunan agung itu, persetujuan sebulat suara telah dicapai berhubung pindaan perlembagaan bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas PRU15.

"UMNO tidak boleh perkara (pemilihan) ini sewenang-wenangnya, sebab dalam PAU pada Mac dan PAU khas pada Mei lalu sudah buat keputusan berhubung pindaan perlembagaan pada pemilihan parti.

"Saya tidak tahu sama ada dia (Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz) hadir PAU atau tidak. Sebagai bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan bekas Menteri seharusnya dia memahami dan mengetahui perjalanan perlembagaan sebuah parti.

"Tidak mungkin parti boleh buat keputusan sendiri dengan membelakangkan perlembagaan yang merupakan dasar tertinggi bagi sesebuah parti," katanya.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah-sekolah di Parlimen Pontian bertempat Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK) Parit Betak, Benut, di sini pada Jumaat.

Sebelum itu Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengulangi pendiriannya bahawa proses pemilihan UMNO perlu dilaksanakan sebelum berlangsungnya PRU15.

Hal ini kerana beliau berpandangan masalah dalaman UMNO yang kini memiliki dua nakhoda, seorang merupakan Presiden parti manakala seorang lagi pemimpin kanan UMNO dilantik sebagai Perdana Menteri, perlu diselesaikan segera sebelum pilihan raya berlangsung kelak.

Jun tahun lalu, Ahmad Maslan mengumumkan UMNO menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selama 18 bulan.

Ahmad Maslan dilaporkan berkata, sudah menemui dan menulis surat kepada Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM) dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Mei lalu, UMNO meminda perlembagaan bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas PRU15.