Piala AFC: Josue pacu KL City ke separuh akhir

Josue watak penting ketika membantu KL City mengatasi Tampines Rovers dalam aksi Kumpulan H di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. FOTO: KL City FC
Josue watak penting ketika membantu KL City mengatasi Tampines Rovers dalam aksi Kumpulan H di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. FOTO: KL City FC
A
A
A

KUALA Lumpur City FC (KL City) mengesahkan slot separuh akhir Zon Asean Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022 berstatus naib juara terbaik selepas menyingkirkan cabaran Tampines Rovers 2-1 pada Khamis.

Anak buah Bojan Hodak yang tampil dengan misi wajib menang selepas terikat tanpa jaringan berdepan pendahulu PSM Makassar sebelum ini bermula garang di depan pemain ke-12 The Hawks dalam aksi Kumpulan H di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur itu.

Kapten The Hawks, Paulo Josue menyingkap tirai gol untuk juara Piala Malaysia itu pada minit ke-16 apabila menterjemahkan hantaran Akram Mahinan bagi mendahului lawan yang tewas 1-3 kepada PSM Makassar sebelum ini.

Gol itu ternyata menyuntik semangat anak buah Hodak apabila Josue sekali lagi menjadi watak penting menjaringkan gol kedua The Hawks sekali gus jaringan peribadi kedua pada minit ke-22.

Bagaimanapun The Stags kendalian Gavin Lee yang menduduki tangga keempat Liga Perdana Singapura tidak mengalah bangkit merapatkan kedudukan hasil jaringan minit ke-37, pemain import dari Montenegro, Boris Kopitović.

Tiga mata diperolehi The Hawks membolehkan pasukan yang menduduki tangga kelima Liga Super itu mara ke pusingan berikutnya dengan status naib juara terbaik di belakang PSM Makassar yang mengungguli Kumpulan H dengan perbezaan jaringan.