Potong cukai hiburan, tambah baik industri seni tanah air

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan agar cukai hiburan dipotong sebagai alternatif untuk menambah baik industri seni dan perfileman tanah air.

Menurutnya, cukai hiburan di Malaysia adalah antara yang tertinggi iaitu sebanyak 25 peratus, sedangkan di Singapura dan Indonesia tidak sampai pun 10 peratus.

“Jualan filem Mat Kilau dah kutip RM12 juta tapi masih rugi kerana 25 peratus ke cukai hiburan, lagi 50 peratus ke pawagam dan hanya selepas itu ke pembuat filem.

“Ini bukan sahaja bagi Mat Kilau tetapi bagi semua filem tempatan. Macam mana mereka nak bertahan?” katanya menerusi video yang dimuat naik di Twitternya pada Khamis.

Selain itu, beliau turut mencadangkan untuk mewajibkan kutipan cukai hiburan disalurkan semula kepada tabung industri seni negara.

“Kini ia disalurkan untuk cat pagar, tar jalan dan tanam pokok, sedangkan ia mesti digunakan untuk tujuan tertentu.

“Perasan tak bagi filem-filem tempatan tidak ada papan iklan, kain rentang dan poster besar-besar.

“Saya bila pergi ke pawagam tengok filem Mat Kilau nak tangkap gambar dengan Mat Kilau dan Awang tidak ada, sebab poster pun tidak ada. Modal tidak mencukupi,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq menegaskan bahawa kebajikan kru-kru perfileman turut perlu dijaga dan diinstitusikan.

Ujarnya, jangan hanya menjaga artis ternama semata-mata hingga mengabaikan kebajikan kru di balik tabir.

“Jangan setakat tengok pelakon bertaraf bintang, jangan lupa ada kru yang kerja lebih masa tidak dibayar, gaji lambat dan insurans tidak ada.

“Yang buat lagu royalti tidak dibayar tetapi lebih penting, kontrak tidak boleh berat sebelah, hak pencipta lagu dan filem perlu kekal di tangan pengkarya. Lihat sahaja nasib arwah P Ramlee.

“Bagi pencinta seni tanah air, mari tuntut perubahan melalui polisi,” katanya.