Pulih semula industri pelancongan

MOTAC yakin TRF 2.0 mampu pacu ekonomi negara

A
A
A

Bagi mengukuhkan lagi dan mencapai daya tahan industri, sektor pelancongan perlu bernilai tinggi seiring dengan kemampanan.
Bagi mengukuhkan lagi dan mencapai daya tahan industri, sektor pelancongan perlu bernilai tinggi seiring dengan kemampanan.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) optimis Rangka Kerja Pemulihan Pelancongan 2.0 (TRF 2.0) mampu memperkukuhkan semula industri pelancongan negara.

TRF 2.0 dibangunkan oleh MOTAC bersama-sama penggiat industri melalui Tourism Productivity Nexus (TPN) untuk menambahbaik pelan pemulihan sedia ada selaras dengan strategi-strategi di bawah Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, demi meneruskan momentum, penambahbaikan dibuat berdasarkan empat pemacu pemulihan ekonomi utama iaitu pelaburan, teknologi, perdagangan dan produktiviti dengan memfokuskan kepada tiga penciptaan bersama, persilangan dan kerjasama.

Menurutnya, TRF 2.0 menggariskan cara membina dan menambah baik pencapaian 2019 termasuk peluang pekerjaan, perniagaan baharu, peningkatan pendapatan pelancongan dan penambahbaikan infrastruktur, yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan peningkatan kualiti hidup.

TRF 2.0 fokus untuk meningkatkan pendapatan negara, menggalakkan kerjasama pintar antarabangsa dan nasional, memperkasakan masyarakat setempat, mengukuhkan daya tahan serta memastikan kemampanan industri pelancongan negara dalam mendepani ketidakpastian masa depan, katanya.

Majlis pelancaran TRF 2.0 telah diadakan pada 21 Jun lalu. Sebelum itu, Nancy telah mempengerusikan Sesi Dialog Pelancongan MOTAC 2022 bersama penggiat industri, kementerian dan agensi yang berkaitan.

Selain berkongsi dasar dan hala tuju pelancongan negara, sesi itu turut mendengar pandangan dan maklum balas daripada penggiat industri mengenai pembangunan dalam tempoh jangka pendek, sederhana dan panjang serta cara menangani cabaran.

Katanya, TRF 2.0 mencerminkan visi kerajaan dan penggiat industri iaitu mewujudkan industri pelancongan yang lebih berdaya saing dan berdaya tahan dengan menjadikan Malaysia sebagai destinasi yang lestari dan kaya budaya.

TRF 2.0 dirangka menerusi sesi libat urus bersama pihak berkepentingan utama dan MOTAC akan memanfaatkan kepakaran, pengalaman, kerjasama dan kepimpinan mereka bagi mencapai visi dan misi ini, jelasnya.

Selain agensi di bawah MOTAC seperti MyCEB, ITC dan Tourism Malaysia yang mewakili pelbagai persatuan juga terlibat secara langsung.

Bantuan kewangan

TRF 2.0 menggariskan lima tonggak strategi dalam memperkasakan ekosistem industri pelancongan. Melalui usaha itu, MOTAC telah menyemak semula sasaran ketibaan pelancong dan pendapatan pelancongan sebelum ini.

Nancy (tengah) bersama penggiat industry pada Sesi Dialog Pelancongan 2022 dan Majlis Pelancaran TRF 2.0 yang diadakan di Kuala Lumpur, pada 21 Jun lalu.
Nancy (tengah) bersama penggiat industry pada Sesi Dialog Pelancongan 2022 dan Majlis Pelancaran TRF 2.0 yang diadakan di Kuala Lumpur, pada 21 Jun lalu.

MOTAC menyasarkan ketibaan pelancong sebanyak 4.5 juta orang dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM11.1 bilion bagi tahun 2022, kata Nancy.

Jelasnya, sehingga Mei 2022, MOTAC telah menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM23.8 juta kepada lebih 15,000 pengusaha pelancongan dan lebih RM4.73 juta nilai baucar telah ditebus bagi pembelian produk kraf, seni visual dan buku bagi membantu penggiat industri kebudayaan.

Sebanyak RM2.35 juta nilai baucar telah ditawarkan bagi pakej pelancongan dan pengangkutan darat.

Sehingga 15 Jun 2022, sebanyak 342 permohonan dengan jumlah nilai RM1.64 juta telah diluluskan bagi pemberian geran padanan untuk pembaikan inap desa, manakala 43 permohonan dengan jumlah nilai RM886,000 diluluskan bagi hotel bajet.

Diharapkan ia dapat menggalakkan rakyat untuk berbelanja dan melancong sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

Pada masa sama, kita harap kesan inflasi dapat dikurangkan ke atas kuasa beli rakyat, terutamanya inflasi makanan yang direkodkan pada kadar 4.1 peratus pada April 2022, katanya.

Pelancongan seimbang

Bagi mengukuhkan lagi dan mencapai daya tahan industri, sektor pelancongan perlu bernilai tinggi seiring dengan kemampanan.

NANCY
NANCY

Peningkatan pendapatan pelancongan merupakan penunjuk penting dalam mempengaruhi ekonomi negara. Kita mengutamakan kualiti berbanding kuantiti. Kita mahu menarik pelancong yang berkualiti dan berbelanja tinggi.

“Kita juga akan memulihara, memelihara dan melindungi alam semula jadi, budaya dan warisan negara untuk generasi kini dan akan datang.

“Pelancongan yang seimbang bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi malah memberi manfaat ekonomi kepada semua pihak, ujar Nancy Shukri.

Pelaksanaan TRF 2.0 akan dipantau dan dinilai menerusi Jawatankuasa Pemandu Industri Pelancongan (JPIP) dan Dialog Pelancongan MOTAC yang diadakan secara berkala setiap tahun.

Mekanisme pemantauan dan penilaian itu juga melibatkan kedua-dua sektor iaitu kerajaan dan swasta.

MOTAC menyasarkan masa depan sektor pelancongan yang lebih gemilang bagi pasca pandemik Covid-19. Melalui fasa pemulihan, kita seharusnya bergerak ke arah masa depan yang lebih berdaya tahan.

Semua pihak perlu bersedia untuk merebut setiap peluang yang muncul dan membangunkan pelancongan baharu yang berkait rapat dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Bagi memastikan pelan tindakan ini dicapai, semua pihak harus bekerjasama melaksanakan strategi-strategi yang digariskan. Kerjasama erat antara penggiat industri, komuniti tempatan, pertubuhan bukan kerajaan dan kerajaan penting dalam menangani impak pandemik serta mewujudkan industri pelancongan yang lebih berdaya maju.

Prihatin

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Saraya Arbi berkata, MOTAC prihatin dengan permasalahan yang dihadapi oleh pemain industri.

Menurutnya, bermula Mac lalu, sebanyak 15 persatuan atau agensi telah mengemukakan memorandum kepada MOTAC yang mengandungi lebih 80 isu rentas kementerian.

Industri pelancongan merupakan sektor yang mampu meningkatkan ekonomi negara.
Industri pelancongan merupakan sektor yang mampu meningkatkan ekonomi negara.

Dua isu yang paling banyak diterima adalah berkaitan penambahbaikan kemudahan atau perkhidmatan dan bantuan kewangan. Ia diikuti dengan

isu berkaitan perundangan, pembangunan produk dan pasaran serta pembangunan sumber manusia, katanya.

Beliau berkata, daripada keseluruhan isu ini, sebanyak 58 peratus adalah di bawah kawalan MOTAC seperti pelesenan dan penguatkuasaan agensi pelancongan dan pemandu pelancong, bantuan dan geran kewangan kepada pengusaha-pengusaha pelancongan yang berlesen atau berdaftar dengan MOTAC.

Selebihnya iaitu 42 peratus adalah di luar bidang kuasa MOTAC seperti hal-hal berkaitan pelesenan operasi premis-premis penginapan, wellness dan spa, pelanjutan Akta Pelindungan Covid-19, urusan imigresen atau visa, Program Subsidi Upah, bil-bil utiliti elektrik, air dan pembentungan, moratarium, cukai pendapatan dan cukai pintu, katanya.

Sejak bermulanya pandemik Covid-19, MOTAC telah memperuntukkan sejumlah RM61 juta bantuan kewangan kepada lebih 20,000 pengendali pelancongan yang berlesen atau berdaftar dengan MOTAC di seluruh negara pada tahun 2020 dan 2021 termasuk agensi pelancongan, ejen MM2H, pengusaha inap desa, pemandu pelancong, dan pengendali spa dan pusat urut kaki.

5 tonggak strategi pelancongan TRF 2.0:

Tonggak 1:

Menyokong Pemulihan Perniagaan Pelancongan dan Kebudayaan.

Tonggak 2:

Memulihkan Keyakinan Pelancong dan Perjalanan Antarabangsa dan Intra-Rantau yang lancar.

Tonggak 3:

Mencipta Semula Produk/ Perkhidmatan Pelancongan dan Kebudayaan Bagi Memacu Daya Saing.

Tonggak 4:

Menyelaraskan Pelancongan dengan Kemampanan dan Keterangkuman.

Tonggak 5:

Memperkukuh Pemulihan dengan Ketahanan Jangka Panjang dan Kesediaan Menghadapi Krisis