Sila log masuk terlebih dahulu.

Isteri dicekup khalwat ketika suami keluar bekerja

Salah seorang pegawai agama sedang menyiasat pasangan terbabit ketika serbuan di sebuah rumah sewa pada awal pagi Khamis.
Salah seorang pegawai agama sedang menyiasat pasangan terbabit ketika serbuan di sebuah rumah sewa pada awal pagi Khamis.
A
A
A

KULIM - Seorang isteri tergamak membawa pulang lelaki lain ke rumah ketika suaminya keluar bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang tayar dalam kejadian awal pagi Khamis.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Shariffudin Mat Saat berkata, tindakan tidak bermoral pasangan terbabit terbongkar selepas mereka dicekup Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) yang mendapat maklumat daripada penduduk kampung pada hari kejadian.

Menurutnya, dalam serbuan pada jam 1.40 pagi itu, wanita berusia 35 tahun dan sudah mempunyai empat anak ditahan bersama pasangannya yang masih bujang berusia 32 tahun di rumah sewa wanita terbabit.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, terdapat tiga kanak-kanak dipercayai anak wanita itu sedang tidur dan seorang lagi anak sulungnya yang berusia 13 tahun tinggal bersama nenek di kampung.

"Ketika kejadian, suami wanita terbabit yang berusia 43 tahun keluar bekerja sebagai pengawal keselamatan sejak pukul 9 malam di sebuah kilang tayar, di daerah ini," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati pasangan tersebut bukan suami isteri atau mahram, selain kedua-duanya gagal menunjukkan sebarang dokumen mereka mempunyai hubungan.

"Hasil siasatan mendapati, kedua-dua mereka dipercayai berkenalan di sebuah kedai makan di daerah ini, kira-kira enam bulan lalu ketika wanita terbabit bekerja sebagai tukang cuci.

"Lelaki yang berasal dari Pendang itu pula bekerja sebagai pemandu jengkaut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anwar Shariffudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.