Sila log masuk terlebih dahulu.

Ahmad Zahid minta MPN dibubarkan

Hantaran Ahmad Zahid di Facebook yang meminta kerajaan membubarkan MPN.
Hantaran Ahmad Zahid di Facebook yang meminta kerajaan membubarkan MPN.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa Majlis Pemulihan Negara (MPN) dibubarkan selepas kerajaan menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

Menurut beliau, MPN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu tidak lagi berkesan dan diperlukan serta bercanggah dengan usaha-usaha terkini kerajaan untuk menangani masalah rakyat.

Katanya, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dianggotai beberapa menteri merupakan langkah yang baik bagi menangani masalah inflasi, kos sara hidup dan sekuriti makanan dengan lebih tersusun melalui kerjasama rentas kementerian.

“Sebenarnya, kewujudan MPN dari awalnya lagi tidak membuahkan hasil dan berfungsi sebagai penasihat kepada kerajaan sahaja.

“Fungsi ini sebenarnya boleh dan sedang dilakukan oleh badan-badan pemikir berkaliber seperti Khazanah Research Institute (KRI) dan badan-badan pemikir lain, yang selama ini telah lama bergiat aktif dalam memberi nasihat serta syor kepada kerajaan.

“MPN hanyalah satu platform untuk memberikan Tan Sri Muhyiddin Yassin peluang bagi menaikkan imej diri sendiri serta parti beliau, dan tidak semestinya bersuara bagi pihak rakyat dan kepentingan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Tambahnya, MPN sudah gagal, maka sudah tiba masanya kerajaan membubarkan ia dan memberikan kelapangan kepada kementerian serta menteri daripada menghadiri mesyuarat majlis yang tidak berkesan itu.

Beliau juga menasihati Muhyiddin supaya menggunakan platform berlainan bagi menyumbang idea dan saranan sebagai bekas Perdana Menteri, seperti menerusi Yayasan Kepimpinan Perdana bersama-sama Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel Berkaitan: