45,230 pencarum Perkeso hilang upaya dibantu kembali bekerja

Sebahagian peserta yang mengikuti program Pertandingan MasterChef Return To Work di Kolej Komuniti Selayang pada Selasa dan Rabu lalu.
Sebahagian peserta yang mengikuti program Pertandingan MasterChef Return To Work di Kolej Komuniti Selayang pada Selasa dan Rabu lalu.
A
A
A

BATU CAVES - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membantu seramai 45,230 pencarumnya untuk kembali bekerja menerusi program Return to Work (RTW) sejak Mei lalu selepas diperkenalkan pada 2007.

Bahagian Komunikasi Strategik Perkeso dalam kenyataannya memaklumkan, daripada jumlah itu sebanyak lima peratus atau lebih 2,200 peserta telah menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

Kenyataan itu memberitahu, Perkeso juga giat melaksanakan pelbagai program pembangunan keusahawanan kepada peserta yang berminat seperti latihan kemahiran bagi peningkatan skil atau mempelajari skil baharu.

"Pencarum Perkeso turut dibantu dalam aspek pengkomersilan dan pemasaran produk menerusi pelbagai saluran termasuk dalam rancangan RTW SHOP yang disiarkan di platform media sosial," menurut kenyataan itu pada Khamis.

Kenyataan itu menjelaskan, usaha dilakukan Perkeso diharap memberi impak positif sekali gus membantu peserta Program RTW menjana pendapatan sebagai seorang usahawan.

Jelas kenyataan itu, projek jualan biskut raya tiga peserta Program RTW yang disiarkan menerusi platform RTW SHOP pada bulan April lalu juga berjaya membantu RTWPreneur menjana pendapatan dengan keuntungan kasar sebanyak RM10,000 apabila hampir 1,000 balang biskut raya berjaya dijual.

Ujar kenyataan itu, Perkeso merancang memperkukuh lagi program latihan vokasional dan keusahawanan seumpama itu pada masa depan bagi menggalakkan lebih ramai peserta Program RTW di seluruh negara dapat kembali bekerja demi kesejahteraan mereka dan tanggungannya.

Buat julung kalinya, Perkeso menganjurkan Pertandingan MasterChef Return To Work bagi memupuk bakat memasak dan melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan peserta RTW atau 'RTWPreneur’ dalam bidang seni kulinari.

Program dengan kerjasama Kolej Komuniti Selayang itu berlangsung selama dua hari pada Selasa dan Rabu lalu.

"Pada hari pertama, peserta dibawa mempelajari teori masakan sebelum menjalani kursus amali.

"Hari kedua pula menyaksikan seramai 10 peserta RTW menonjolkan kemahiran memasak masing-masing, sebelum hanya lima peserta terbaik dipilih untuk mara ke peringkat akhir," jelasnya.

Menurut kenyataan itu, pertandingan memasak diadili tiga juri iaitu blogger masakan terkenal, Nurhayati Zainol Abidin atau Yatie Kitchen, Ketua Chef Kolej Komuniti Selayang, Mohammad Kamil Zulkeflie dan Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John Riba Marin.

"RTWPrenuer yang menyertai pertandingan memasak ini merupakan pencarum Perkeso mengalami hilang upaya akibat kemalangan pekerjaan atau penyakit serta telah dipulihkan menerusi rawatan rehabilitasi di bawah Program RTW.

"Penganjuran pertandingan ini merupakan inisiatif Perkeso untuk membantu mereka agar dapat kembali berdikari dan bekerja selepas menerima rawatan pemulihan fizikal dan vokasional," jelas kenyataan itu.

Sementara itu, untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh merujuk laman sesawang Perkeso di www.perkeso.gov.my atau menghubungi Careline Perkeso di talian 1-300-22-8000 atau e-mel ke perkeso@perkeso.gov.my.