300 Koperasi sekolah mampu capai perolehan RM1 juta

Pengerusi Koperasi MRSM Kubang Pasu, Siti Nur Adila Had (dua, kiri) menerima simbolik penyerahan Sudut Laman Angkasa daripada Abdul Fattah (tiga,kanan).
Pengerusi Koperasi MRSM Kubang Pasu, Siti Nur Adila Had (dua, kiri) menerima simbolik penyerahan Sudut Laman Angkasa daripada Abdul Fattah (tiga,kanan).
A
A
A

KUBANG PASU - Sebanyak kira-kira 300 koperasi sekolah menengah di negara ini berpotensi mencapai pendapatan melebihi RM1 juta setahun dalam tempoh lima tahun akan datang.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, ia berdasarkan kemampuan koperasi berkenaan mempelbagaikan aktiviti untuk meningkatkan perolehan tahunan mereka.

Setakat ini, katanya, enam koperasi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sebuah kolej vokasional digelar sebagai koperasi jutawan selepas memperoleh pendapatan lebih RM1 juta setahun.

“Antara MRSM berkenaan MRSM Taiping, MRSM Tun Abdul Razak (Pahang), MRSM Kepala Batas (Pulau Pinang), MRSM Kubang Pasu (Kedah), MRSM Batu Pahat Berhad (Johor) dan Kolej Vokasional Tanah Merah (Kelantan),” katanya, kepada media di Majlis Perasmian Sudut Laman Angkasa Sempena Program Penghargaan ‘Coop Care’ Kepada Koperasi Sekolah Yang Mencapai Perolehan 1 Juta di Maktab Rendah Sains Mara, Kubang Pasu, di sini hari ini.

Abdul Fattah menandatangani plak di Majlis Perasmian Sudut Laman Angkasa Sempena Program Penghargaan 'Coop Care' Kepada Koperasi Sekolah Yang Mencapai Perolehan 1 Juta di MRSM Kubang Pasu hari ini.
Abdul Fattah menandatangani plak di Majlis Perasmian Sudut Laman Angkasa Sempena Program Penghargaan 'Coop Care' Kepada Koperasi Sekolah Yang Mencapai Perolehan 1 Juta di MRSM Kubang Pasu hari ini.

Menurutnya, sesebuah koperasi sekolah dapat berkembang pesat dengan mempelbagaikan aktiviti perniagaan dan tidak tertumpu kepada aktiviti tradisional sahaja.

“Antara perniagaan yang memberi pulangan lumayan adalah perkhidmatan gunting rambut, dobi layan diri dan pertanian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Fattah berkata, koperasi sekolah jutawan juga dapat direalisasikan melalui kerjasama erat antara sekolah dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Ibu bapa yang berkemampuan boleh menggalakkan anak-anak mereka meningkatkan pelaburan dalam koperasi.

“Melalui pelaburan ini koperasi berupaya untuk menjalankan perniagaan dalam skala yang besar dan mencapai perolehan yang disasarkan,” katanya.