LIMA'19 melabuhkan tirai dengan lakar kejayaan

Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 19) yang melabuhkan tirai hari ini, berjaya mengangkat dan menyerlahkan keupayaan Malaysia menghasilkan produk aeroangkasa dan maritim bertaraf dunia kepada pemain global. - Foto Bernama
Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 19) yang melabuhkan tirai hari ini, berjaya mengangkat dan menyerlahkan keupayaan Malaysia menghasilkan produk aeroangkasa dan maritim bertaraf dunia kepada pemain global. - Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 19) yang melabuhkan tirai hari ini, berjaya mengangkat dan menyerlahkan keupayaan Malaysia menghasilkan produk aeroangkasa dan maritim bertaraf dunia kepada pemain global.

LIMA’19 telah mencatatkan rekod dengan 42,030 delegasi perdagangan dari 63 negara membabitkan 406 pempamer terdiri daripada syarikat tempatan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, LIMA 19 juga mencatatkan rekod dengan 240,000 pelawat mengunjungi pameran itu pada hari Jumaat dan Sabtu,

Angka ini mengatasi pencapaian LIMA 2017 yang menyaksikan 40,000 pelawat perdagangan dari 38 negara membabitkan 550 pempamer dan syarikat antarabangsa serta mencatatkan kehadiran 140,000 pengunjung.

Ketika mengulas kejayaan LIMA 19, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata LIMA`19 menerima banyak penyertaan dalam acara yang berlangsung sejak ia bermula Selasa lepas hingga hari ini dan ia turut menarik kedatangan ribuan pengunjung yang berpeluang menyaksikan pelbagai pertunjukan yang disediakan sepanjang pameran itu.

“Di samping itu, ada perjanjian-perjanjian perniagaan ditandatangani yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” kata beliau sambil berharap Langkawi akan terus menjadi tuan rumah bagi acara dwitahunan itu yang seterusnya akan memberi manfaat kepada penduduk pulau peranginan ini.

Janji niaga membabitkan nilai keseluruhan RM4 bilion - terdiri daripada kontrak perolehan, memorandum persefahaman, surat hasrat dan surat penerimaan - telah dimeterai semasa LIMA'19 berbanding RM3.8 bilion pada LIMA edisi sebelumnya.

Dr Mahathir yang juga anggota Parlimen Langkawi menyifatkan pameran kali ini sebagai yang terbaik pernah dianjurkan dan yakin kejayaan ini akan berterusan dan “kita akan mendapat banyak manfaat daripada pameran ini”.

Artikel Berkaitan:

Beliau melancarkan edisi pertama LIMA 28 tahun lalu pada 1991. Sejak itu, LIMA telah berkembang menjadi pameran maritim dan aeroangkasa yang terkemuka di rantau Asia Pasifik.

Perdana Menteri percaya bahawa LIMA akan membantu negara menarik lebih banyak pelaburan dan meningkatkan kerjasama antara usahawan asing dan tempatan dalam bidang peralatan pertahanan.

Pameran dwitahunan ini juga mengumpulkan negara-negara utama pempamer atau lebih dikenali sebagai kuasa besar dunia - Rusia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan China.

Edisi ke-15 pameran ini, dianjurkan bersama oleh EN Projects (M) Sdn Bhd, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan bertemakan 'Defence and Commercial Connecting Intelligence'.

LIMA'19 juga menerima pelawat diRaja apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyaksikan pertunjukan aerobatik.

Selain Seri Paduka, pelawat diraja lain yang turut berangkat menyaksikan pameran itu ialah Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Berikutan kejayaan besar LIMA 2019, Kementerian Pertahanan merancang untuk menjadikan LIMA seterusnya lebih besar dari segi penyertaan syarikat tempatan dan asing,

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, teknologi siber dan aeroangkasa ialah antara kalangan komponen penting yang akan difokuskan pada LIMA seterusnya untuk meningkatkan industri tempatan dan menyerlahkan keupayaan Malaysia dalam menghasilkan produk aeroangkasa dan maritim kelas dunia. - Bernama