Pemandu lori mengaku salah cederakan isteri, mentua

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada Rabu.
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada Rabu.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan mencederakan isteri dan ibu mentua di Kampung Cabang Empat, Tumpat pada Selasa minggu lalu.

Tertuduh, Wan Mohammad Hafizuddin Wan Ismail, 27, mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Mustaqim Sukarno.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh dengan sengaja mencederakan ibu mentua, Tuan Azizah Tuan Bongsu, 61, dan isteri, Nik Salma Joni, 26, menggunakan pisau yang boleh menyebabkan kematian.

Bagi pertuduhan pertama mencederakan mentua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama 326A Kanun Keseksaan.

Untuk pertuduhan kedua mencederakan isteri pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama 326A Kanun Keseksaan.

Seksyen 324 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua, manakala Seksyen 326 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Cabang Empat, Tumpat pada jam 5.30 petang, 21 Jun lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar, bagaimanapun tertuduh tidak diwakili peguam.

Hajarul Falenna sebelum itu memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana dibimbangi mengganggu saksi.

Mahkamah menetapkan 5 September sebagai tarikh hukuman dan tidak menawarkan jaminan untuk tertuduh.