Polis Lahad Datu buru dua lelaki menyamar polis

No Image Caption
A
A
A

LAHAD DATU - Polis sedang memburu dua lelaki yang disyaki menyamar anggota polis dalam kes peras ugut seorang wanita tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dalam kejadian di Batu 1, Jalan Segama, semalam.

Ketua Polis Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata kejadian berlaku 9 pagi apabila kedua-dua suspek yang menaiki Proton Saga hitam menghampiri dua wanita sebelum meminta mereka mengeluarkan dokumen diri.

Seorang daripada wanita terbabit gagal mengemukakan pengenalan diri menyebabkan kedua-dua suspek menariknya masuk ke dalam kereta dan dibawa ke Pondok Polis di Darvel, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Nasri berkata di situ, suspek mengugut mangsa agar membayar RM200 untuk menyelesaikan kes atau dibawa ke Ibu Pejabat Polis Lahad Datu.

"Mangsa yang ketakutan kemudian bersetuju dan mengeluarkan wang daripada mesin ATM berhampiran sebelum membayar wang tersebut. Selepas dibebaskan, mangsa mendapati wang RM250 yang disorokkan di dalam beg tangannya turut hilang, dipercayai diambil oleh suspek,” katanya, menambah kes disiasat menurut Seksyen 384/170 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, beliau berkata polis menahan dua penagih dadah warga Filipina berusia 21 dan 22 tahun dalam Operasi Sarang di sebuah rumah di Ladang Sungai Mas jalan Lahad Datu-Sandakan, hari ini.

Dalam operasi 2 pagi itu polis turut merampas dadah dipercayai jenis syabu seberat 6.09 gram serta 10 gulung kertas timah (aluminium) mengandungi dadah daripada suspek, katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: