Sila log masuk terlebih dahulu.

Krisis dalaman UMNO cetus ketidakstabilan

Tajuddin mengadakan sidang media khas pada Isnin mengenai pemecatan jawatannya sebagai ahli MKT UMNO baru-baru ini.
Tajuddin mengadakan sidang media khas pada Isnin mengenai pemecatan jawatannya sebagai ahli MKT UMNO baru-baru ini.
A
A
A

PEMBONGKARAN bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berhubung gerakan yang didakwa didalangi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kembali menghangatkan politik negara.

Apa yang jelas, pendedahan Tajuddin menerusi sidang akhbar khas pada Isnin itu menunjukkan krisis dalaman UMNO sudah tidak dapat disorok sehingga 'hal dalam kain' parti itu kini diketahui umum.

'Rahsia' yang didedahkan itu juga seolah-olah memberi isyarat 'perang' kepada Ahmad Zahid yang menggugurkan beliau daripada jawatan MKT pada Khamis lalu.

Antara perkara yang 'dilondehkan' Tajuddin termasuklah mendakwa Ahmad Zahid tidak berpuas hati dengan kedudukan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Dakwa Ahli Parlimen Pasir Salak itu, ia disebabkan, MKT mencalonkan Ismail Sabri sebagai poster boy Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kata Tajuddin, Presiden UMNO itu sebenarnya mahukan jawatan paling tinggi dalam negara untuk dirinya sendiri.

Taktik mengumpan Ismail Sabri dengan pencalonan poster boy atau bakal Perdana Menteri UMNO-BN pada PRU15 didakwa Tajuddin sebagai sebahagian usaha Ahmad Zahid untuk menjadi Perdana Menteri segera.

Selain itu, Tajuddin yang dilaporkan dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia pada 17 Mei lalu turut mendakwa Ahmad Zahid memaksa ahli-ahli Parlimen daripada UMNO untuk menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ketika berlaku krisis politik negara.

Artikel Berkaitan:

Tajuddin mengesahkan, beliau menandatangani surat akuan sumpah (SD) menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, Ahmad Zahid sememangnya ada mengusahakan untuk mewujudkan jajaran baharu politik, UMNO-PH apabila meminta ahli-ahli Parlimen daripada UMNO menandatangani SD tersebut di sebuah hotel di Kampong Bharu, Kuala Lumpur.

"Saya saksi hidup mengesahkan memang ada tandatangan SD ahli ahli-ahli Parlimen UMNO yang dipaksa Zahid untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

"Mula-mula saya tidak mahu, bila sudah sampai saat hendak masam muka dengan saya, saya tandatangan juga. Lebih menyedihkan, bila di luar mesyuarat (MKT), Ahmad Zahid berkata 'No Anwar, No DAP'. Itu pembohongan kepada ahli UMNO," ujar Tajuddin pada sidang media tersebut.

Dakwaan-dakwaan itu benar-benar mengejutkan ramai kerana sejak kebelakangan ini UMNO dilihat sebagai sebuah parti yang dilihat stabil dan untuk menjadi tempat kepada rakyat berpaut.

Negara sebelum ini sudah lelah berdepan krisis politik negara yang berlanjutan selama setahun setengah selepas Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Selepas keadaan politik kembali stabil dengan pelantikan Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 20 Ogos tahun lalu, sedikit demi sedikit UMNO-BN dilihat kembali mengukuhkan parti mereka selepas tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan selepas PRU14 dan dimenangi UMNO-BN membuktikan rakyat memilih kestabilan politik.

Ekoran mahukan kestabilan, UMNO-BN yang pernah memerintah Malaysia selama 60 tahun kembali diberi kepercayaan lebih-lebih lagi pada ketika rakyat sedang tertekan dengan kemelesetan ekonomi dan pandemik Covid-19.

UMNO-BN yang bertanding secara solo pada PRN Melaka dan Johor berjaya mencapai kemenangan dan membentuk kerajaan negeri. Ekoran itu, UMNO-BN dilihat cenderung untuk kekal bersendirian bagi menghadapi PRU15 yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, dengan 'terburainya' kepada umum krisis dalaman UMNO itu, timbul persoalan bolehkah UMNO-BN menang PRU15 nanti?

Meskipun trend sokongan rakyat sebelum ini memihak kepada gabungan parti berkenaan, namun kemelut yang berlaku tidak mustahil akan mengubah fikiran pengundi.

Apa yang pasti rakyat sudah muak dengan percaturan politik yang mementingkan diri dan hanya mahu kerajaan yang betul-betul stabil serta boleh membantu mereka dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup yang kian membebankan.

*Raiham Mohd Sanusi ialah wartawan Sinar Harian