Polis Johor tahan 318 penagih, pengedar dadah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan 318 individu kerana disyaki terlibat aktiviti penagihan dan pengedaran dadah menerusi Op Tapis Khas di seluruh negeri pada 21 hingga 23 Jun lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, operasi itu memfokuskan kawasan Felda, 'mobile port' dan kawasan perumahan dengan kesemua yang ditahan terdiri daripada 299 lelaki dan 19 wanita berusia 18 hingga 70 tahun.

"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 3(1) ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, operasi berkenaan turut menahan 52 individu berstatus orang dikehendaki dan 28 tokan dadah.

Menurutnya, dalam operasi itu juga pihaknya merampas heroin seberat 567.50 gram, syabu (89.22 gram), ganja (11.61 gram), pil erimin 5 (sebiji), pil yaba (dua biji), air ketum (226 liter) dan daun ketum (18.14 kilogram).

"Kesemua dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM13,529.75 dan jumlah dadah ini jika berterusan berada di pasaran boleh digunakan seramai 3,814 orang penagih,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, sejak 1 Januari hingga semalam, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor telah menahan 6,948 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas 2.16 tan dadah bernilai RM9.69 juta. - Bernama

Artikel Berkaitan: